ToP tukar laluan saat akhir - Utusan Malaysia

ToP tukar laluan saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Dua minggu sebelum bermulanya Tour of Peninsular (ToP) 2019, penganjurnya Motoshoot Event Sdn Bhd terpaksa bertindak drastik mengubah laluan asal yang dirancang sebelum ini gara-gara timbulnya pelbagai masalah yang tidak dijangka pada saat ini.

Antara laluan yang terpaksa diubah adalah membabitkan dua negeri iaitu di Kelantan dan Perak yang terkeluar terus daripada laluan baharu yang diluluskan. Perak paling terkesan kerana negeri itu sepatutnya menganjurkan tiga daripada keseluruhan lima peringkat perlumbaan ToP 2019 manakala Kelantan dua peringkat sahaja.

Mengikut laluan asal, Kelantan dijadual mengendalikan Peringkat Kedua dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu selain Peringkat Ketiga dari Pasir Mas ke Gerik manakala Perak mengendalikan Peringkat Ketiga selain Peringkat Keempat dari Ipoh ke Cameron Highland dan Peringkat Kelima dari Tapah ke Setiawangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Operasi ToP, Emir Abdul Jalal ketika mengumumkan pertukaran laluan itu hari ini berkata, perubahan ini terpaksa dilakukan kerana Kelantan telah mengeluarkan arahan terbaharu melarang sebarang aktiviti sukan berikutan dalam tempoh berkabung kerana menghormati kemangkatan Sultan Ismail Petra yakni bapa kepada Sultan Kelantan sekarang pada 28 September lalu.

Bagaimanapun berbeza dengan Kelantan yang pada mulanya telah membenarkan dijadikan laluan ToP sebelum menariknya balik, Perak pula terpaksa diketepikan kerana masalah tidak mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri.

“Bagi menggantikan Kelantan dan Perak, kami telah memilih Pahang untuk mengendalikan Peringkat 3 dari Kuantan-Karak, Peringkat 4 dari Sg. Koyan-Cameron Highlands dan Peringkat 5 dari Kuala Lipis-Setiawangsa.

“Terengganu akan mengendalikan dua peringkat iaitu Peringkat 1 dari Dungun-Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu-Chukai. Sebelum ini laluan asal adalah Dungun-Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu-Kota Bharu,” kata Emir selepas majlis penerimaan penajaan terbesar daripada penaja utama ToP, Opimax Holding Sdn. Bhd. yang disampaikan pengarahnya, Ahamad Rusly Yaakob yang menyumbang wang tunai RM1.6 juta keseluruhan termasuk RM329,500 wang hadiah kemenangan untuk pelumba yang menang.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab dan Pengerusi Eksekutif Motoshoot Events, Datuk Muhd. Opandi Che Wook. ToP yang berstatus jelajah UCI 2.1 dijadual berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×