Thomas Cook korban ledakan digital - Utusan Malaysia

Thomas Cook korban ledakan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA mengenai syarikat pengembaraan tertua di dunia, Thomas Cook menamatkan operasi dan mengisytiharkan muflis minggu lalu mengejutkan banyak pihak.

Ramai tidak menyangka sebagai sebuah syarikat gergasi yang mengendalikan hotel, kawasan peranginan dan syarikat penerbangan kepada 19 juta pelanggan setahun di 16 negara itu boleh tumbang dan ranap begitu sahaja.

Pelbagai usaha sebelum itu dilakukan oleh pihak pengurusan untuk menyelamatkan syarikat tertua Britain yang mula bero­perasi pada tahun 1841 itu tetapi gagal.

Namun, takdir telah ditentukan bahawa syarikat yang pernah memperoleh jualan tahunan mencecah

£9 bilion (RM46.7 bilion) ini akhirnya telah me­nyaksikan kira-kira 22,000 kakitangannya di seluruh dunia kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Timbul pelbagai persoalan mengapa syarikat berkenaan boleh runtuh selepas 178 tahun beroperasi? Terdapat beberapa alasan yang dilaporkan, termasuk isu Brexit iaitu satu istilah yang biasa digunakan untuk United Kingdom keluar daripada Kesa­tuan Eropah berikutan undi rak­yat melalui satu referendum pada tahun 2016.

Selain itu, penyebab lain ialah persaingan dengan pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tambang murah lain seperti EasyJet dan Jet2 khususnya bagi rantau Eropah serta kelemahan pihak pengurusan.

Bagaimanapun kenyataan bekas Pengarah Urusan Monarch Airline, Tim Jeans amat menarik perhatian penulis. Beliau dalam satu temu bual dengan BBC 5 berkata: “Thomas Cook adalah model perniagaan analog dalam dunia digital.”

Kata-kata itu jelas menggambarkan bahawa ledakan digital jika tidak ditangani dengan cekap dan berkesan mampu membunuh apa sahaja di dunia ini.

Thomas Cook adalah salah satu contoh dalam ribuan ‘mangsa’ lain hasil kemajuan teknologi di­gital yang menyebabkan banyak urusan hari ini dengan mudah dikendalikan di atas skrin kecil hanya menggunakan hujung jari.

Malah Thomas Cook menepati ramalan beberapa kajian sebelum ini seperti yang disiarkan oleh laman web CareerAddict.com pada 2017 bahawa antara bidang pekerjaan yang bakal lenyap akibat teknologi digital ialah ejen pelancongan.

Laman web itu menyenaraikan beberapa bidang kerjaya lain yang diramal hilang menje­lang 2030 iaitu juruwang, pekerja perpustakaan, penghantar surat, juruwang bank, pekerja di kilang pengeluaran kain, industri per­cetakan dan telepemasaran.

Kerjaya itu dilihat suatu masa nanti tidak lagi relevan apabila bakal diambil alih oleh teknologi digital menyebabkan orang ramai tidak lagi perlu berurusan menggunakan wang tunai di kaunter pasar raya selain penggunaan robotik yang mengambil alih kerja-kerja pembuatan dan pengelua­ran.

Sementara itu, Dr. Doug Green pada tahun lalu menulis di laman web miliknya drdouggreen.com menambah beberapa bidang pekerjaan yang bakal lenyap se­perti pemandu apabila syarikat-syarikat pengeluar kenderaan mula memperkenalkan kereta pandu sendiri selain ujian-ujian yang sedang giat dilaksanakan pada lori, bas, kapal serta teksi terbang.

Beliau juga menyenaraikan bahawa bidang pekerjaan se­perti pelayan restoran juga bakal hilang apabila urusan tersebut akan dilakukan oleh robot-robot hasil kemajuan teknologi kecerdasan buatan yang semakin menyeluruh digunakan dalam pelbagai urusan harian.

Turut terkesan menurut perkiraan beliau ialah suatu hari kelak, jumlah tentera dan juruterbang pesawat pejuang tidak lagi diperlukan kerana peperangan masa depan datang daripada bilik kawalan yang dikendalikan oleh beberapa anggota tentera sahaja.

Apa yang penulis nyatakan itu sebenarnya telah mula berkembang sedikit demi sedikit dan hari ini, kita semua telah menyaksikan bahawa cerita fiksyen yang kita saksikan 10 atau 20 tahun lalu di televisyen telah pun menjadi kenyataan.

Kepada generasi baharu yang bakal menghadapi cabaran masa depan, sebilangan kajian menyenaraikan beberapa bidang pekerjaan yang kekal mendapat permintaan menjelang 2030 dengan didahului pembangun aplikasi dan diikuti penganalisis sistem komputer, jururawat bertauliah, ahli terapi fizikal, pengurus per­khidmatan kesihatan, pembantu perubatan, penganalisa kajian pasaran serta penasihat kewa­ngan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×