KUALA LUMPUR 4 Okt. – Selepas dua musim beraksi dalam perlumbaan kelas perdana pada Kejuaraan Motosikal Dunia – MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah bakal kembali ke saingan Moto2 musim depan.
Hafizh, 25, muncul pelumba Malaysia pertama bersaing dalam perlumbaan MotoGP pada 2018 apabila dia berlumba buat pasukan Yamaha Tech 3 Racing.
Bagaimanapun pelumba kelahiran Ampang, Selangor agak bergelut pada musim 2019 apabila bertukar daripada jentera Yamaha kepada KTM.
Meskipun tidak mendedahkan nama pasukan yang bakal disertai dalam saingan Moto2 musim depan, namun laporan mengatakan Hafizh akan menyertai pasukan Angel Nieto selepas pelumba mereka, Jake Dixon bakal berhijrah ke Petronas Sprinta Racing musim depan.
“Kami baru menandatangani pra kontrak. Kami belum lagi menandatangani kontrak sebenar.
“Mungkin minggu ini kami akan melakukannya,” kata Hafizh yang dipetik dalam portal permotoran crash.net.
Hafizh bagaimanapun mengesahkan akan kembali ke Moto2 musim depan dengan sasaran lebih tinggi dalam usaha kembali beraksi di MotoGP.
“Ia bukanlah cabaran baharu tetapi cabaran sebenar bagi saya ialah enjin berbeza. Apabila kembali ke Moto2, saya mahu cuba melakukan seperti (Thomas) Luthi yang sentiasa berada di kedudukan lima terbaik dan menaiki podium.
“Saya juga mahu berada dalam kelompok lima terbaik. Saya pernah menduduki kedudukan 10 terbaik Moto2 selama dua tahun. Saya tidak katakan ia lebih mudah musim depan tetapi mengambil kira pengalaman di MotoGP serta tahap kecergasan ketika ini, saya percaya mampu memberikan cabaran.
“Sudah tentu saya gembira kerana masih beraksi dalam kejuaraan dunia dan mahu kembali ke MotoGP secepat mungkin,” katanya lagi.
Hafizh dijangka mengumumkan secara rasmi mengenai pasukan baharunya selepas menamatkan Grand Prix Thailand minggu ini. – UTUSAN ONLINE











