SHAH ALAM – Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengesahkan 842 kes daripada 952 aduan air berbau di 18 buah kawasan selamat digunakan oleh pengguna.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, kesemua aduan tersebut diterima pihaknya bermula 29 September lalu hingga hari ini.
Menurutnya, berdasarkan ujian in-situ (ujian pensampelan ditapak) dilakukan pihaknya mendapati air dibekalkan selamat digunakan dan mematuhi piawaian kualiti air Kementerian Kesihatan.
“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap sistem agihan dan sembilan kolam perkhidmatan telah dicuci pihak kami.
“Pemantauan dan tindakan berterusan akan dilakukan sehingga baki 110 kes aduan air berbau tiada lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara kawasan aduan meliputi Aman Putra, Bukit Puchong, Kota Warisan, Putra Impiana, Putra Perdana, Putrajaya Presint 11, Salak Tinggi, Taman Intan Baiduri dan Taman Mawar Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang.
Selain itu, di Petaling melibatkan kawasan Puchong Intan, Puchong Perdana, Puchong Prima, Puchong Utama, Saujana Puchong dan Seri Kembangan.
Aduan juga diterima di kawasan Bangi Seksyen 3,4,5,7,9 bagi Hulu Langat, Saujana Putra di Kuala Langat serta USJ 3, 6, 5, 16.
Jelas Abdul Raof, pihaknya mengambil serius berhubung aduan tersebut dan pelanggan dinasihatkan menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800 919/019-2816 793 sekiranya mengalami masalah bekalan air berbau. – K! ONLINE










