GEORGE TOWN – Suspek yang menikam mati seorang lelaki menuntut hutang pada Isinin lalu dicekup polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Bayan Lepas dekat sini awal pagi tadi.
Suspek lelaki penagih dadah berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.45 pagi hasil risikan dan maklumat Pasukan Siasatan Jenayah Berat (D9).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek mengaku membunuh mangsa.
“Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu juga mengaku sebagai ahli kumpulan Triple Two One (221) di kawasan Bukit Jambul.
“Siasatan selanjutnya akan dilakukan selepas permohonan reman ke atasnya dikeluarkan hari ini,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, maut selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh rakannya kira-kira pukul 11.20 malam pada Isnin.
Kejadian itu berlaku selepas mangsa mahu menuntut hutang daripada seoranh lelaki berdekatan sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul di sini. – K! ONLINE











