PUTRAJAYA 9 Sept. – Umat Islam di Masjid Putra dekat sini mengadakan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan Allah berikutan masalah jerebu yang melanda negara.
Solat sunat hajat ditunaikan selepas solat Isyak dan diimamkan oleh imam dua Masjid Putra, Hamid Mohamad.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya melalui masjid-masjid utama di bawahnya iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, akan mengadakan Solat Sunat Istisqa selepas solat Isyak pada malam ini.
Solat itu diadakan bagi memohon bantuan Allah mengurangkan masalah jerebu yang melanda negara sekarang.
Jelasnya, Jakim telah dihubungi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa buah kawasan mencecah pada tahap sangat tidak sihat.
Keadaan ini ditambah dengan hujan yang kurang menyebabkan kemarau dan masalah jerebu berpanjangan.
“Pihak Nadma telah mengesyorkan Jakim untuk mengadakan solat sunat Istisqa di masjid-masjid bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu,” katanya.
Jakim juga katanya, memohon jasa baik dan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara supaya menyeru semua masjid di bawah pentadbiran masing-masing melaksanakan solat Sunat Istisqa bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu, keadaan jerebu dilihat tidak berubah meskipun hujan di beberapa kawasan pada awal petang ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, bacaan IPU yang
direkodkan pada pukul 9 pagi ini menunjukkan tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, sama seperti semalam.
Sebanyak 56 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, berbanding 58 semalam.
“Sembilan stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (semalam lapan stesen), manakala tiga stesen (semalam dua stesen) mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching, Sarawak (IPU 245), Sri Aman (IPU 244) dan Samarahan (IPU 202),” jelas JAS dalam kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











