Pokok tumbang halang lalu lintas - Utusan Malaysia

Pokok tumbang halang lalu lintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 4 Sept. – Hujan lebat bersama ribut sehingga pokok tumbang dan tersangkut pada kabel elektrik di Kilometer 44.1 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, menyebabkan kesesakan lalu lintas selama tiga jam, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7 petang berhampiran Masjid Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 itu menyebabkan berpuluh kenderaan pengguna jalan raya terkandas apabila pokok tumbang menghalang jalan.

Seorang pengguna jalan raya, Muhammad Adzrin Abdullah, 33, berkata, kejadian itu berlaku apabila hujan lebat yang disusuli dengan ribut kuat.

Katanya, dia yang mahu ke Bandar Gua Musang terselamat apabila melepasi pokok yang tumbang itu.

“Bagaimanapun, bantuan pelbagai pihak termasuk penduduk kampung memotong pokok tumbang itu dapat memberi laluan kepada kenderaan berjalan dengan lancar pada pukul 10 malam.

“Nasib baiklah ketika kejadian tidak ada kenderaan ditimpa pokok itu dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya di sini hari ini.

Hussin Mat Noor, 45, pula berkata, kejadian itu menyebabkan kenderaan daripada kedua-dua laluan ke Gua Musang atau ke Kuala Krai terhenti kerana terhalang oleh pokok melintang jalan.

“Saya tidak menyangka ribut petang semalam telah menyebabkan pokok besar di tepi jalan jatuh menimpa jalan.

“Kami juga berterima kasih kepada penduduk kampung sekitar yang membantu memotong pokok bagi melancarkan arah lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin mengesahkan kejadian itu dan memberitahu tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×