PETALING JAYA: Kerajaan perlu menangani ‘Napoleon Kecil’ yang masih wujud dengan merangka sistem tatakelola bagi mengekang sekumpulan kecil penjawat awam yang menunjukkan kuasa dengan sengaja melambat-lambatkan penyampaian.
Malah kelompok itu membarah dalam perkhidmatan dengan menguasai jabatan dan berlagak seperti terlampau berkuasa sehingga melebihi pegawai atasan.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, membasmi Napoleon Kecil antara reformasi perlu dilakukan kerajaan selain merombak pengurusan tertinggi memandangkan terdapat segelintir penjawat awam memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadi sehingga mencemarkan integriti perkhidmatan awam.

Katanya, terdapat keadaan di mana pegawai atasan tidak berani mengambil tindakan terhadap kakitangan masing-masing kerana kedudukan kelompok Napoleon Kecil lebih berkuasa dalam sesebuah jabatan dan agensi kerajaan.
“Ini menyebabkan sekumpulan kecil kakitangan awam khususnya bertugas di kaunter tidak menjalankan tugas sepenuhnya dan menjejaskan penyampaian kepada rakyat.
“Akhirnya masyarakat umum memandang serong kepada integriti kerajaan, sedangkan urusan itu boleh diselesai dengan mudah dan cepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, kerajaan melaksanakan reformasi besar-besaran apabila mengumumkan rombakan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Ia membabitkan sembilan Ketua Setiausaha, seorang timbalan Ketua Setiausaha Kanan dan dua Ketua Pengarah yang berkuat kuasa semalam dan 23 September ini.
Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan Ketua Setiausaha Negara supaya segara melakukan langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam antaranya menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan dalam menangani isu pertindihan fungsi dan dan penjimatan dana negara.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafiq berkata, kerajaan perlu merangka satu sistem tatakelola yang menggariskan penyaluran proses aduan salah laku penjawat awam di samping kaedah penyampaian urusan kerja di barisan hadapan khususnya di kaunter jabatan.
“Kita selama ini hanya diterangkan objektif penyampaian kerajaan iaitu kualiti dan berhemah, namun tidak diterangkan tentang kaedah dan bagaimana kaedah tersebut. Ia hanya secara umum, namun tidak diperincikan cara sebenar.
“Banyak negara lain contohnya di Singapura, mereka mempunyai proses pengaduan kelakuan penjawat awam dan bukannya di media sosial. Berbanding Malaysia, keluar di media sosial dahulu sekali gus mencetuskan pelbagai tohmahan umum,” katanya.
Mohd. Shafiq berkata, reformasi besar-besaran 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam tidak wajar dilihat sebagai pertukaran biasa sebaliknya memberi nafas baharu kepada pegawai atasan untuk melakukan pembaharuan terhadap kementerian dan jabatan masing-masing.
Katanya, malah perkara itu seharusnya menjadi nilai tambah kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, bukannya sebagai hukuman kerana pertukaran antara kementerian lain.
“Pengiliran pegawai atasan ini sepatutnya dibuat dalam tempoh tiga tahun di mana seseorang Ketua Setiausaha kementerian perlu berdepan pertukaran ke kementerian untuk melihat semula aspek perubahan sesebuah entiti yang bakal diterajuinya,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, rombakan perkhidmatan awam dengan fokus untuk menghapuskan budaya penyalahgunaan kuasa, pengaruh tidak sihat dan pembentukan kelompok berkepentingan, berpotensi mengubah persepsi kewujudan Napoleon Kecil dan ‘kartel’ dalam perkhidmatan awam.
Namun katanya, perubahan struktural semata-mata tidak mencukupi malah juga reformasi dari segi penguatkuasaan undang-undang, pemantauan yang lebih ketat dan penerapan nilai integriti secara menyeluruh di setiap peringkat perkhidmatan awam.
“Selain itu, penglibatan masyarakat dalam menilai prestasi perkhidmatan awam dapat membantu mewujudkan persekitaran yang lebih telus dan terbuka,” katanya. – UTUSAN










