JENAMA pakaian dengan label Hanif Hussin mungkin tidak gah seperti jenama tempatan lain, namun ia tidak asing dalam kalangan agensi kerajaan, swasta, wakil rakyat dan korporat di Johor.
Jika mereka mahukan kemeja atau baju korporat yang direka atau ditempah khas mengikut saiz badan sendiri, premis Hanif Hussin yang terletak di Nong Chik Heights di Johor Bahru pasti menjadi tumpuan.
Menjadikan pengasas jenama fesyen Zara, Amancio Ortega sebagai sumber inspirasi, Muhammad Hanif Hussin, 27, mengasaskan Hanif Hussin sejak 2014 selepas menamatkan pengajian di sebuah politeknik di Pasir Gudang.
Dengan hanya bermodalkan RM5,000, hasil jualan kereta jenis Nissan AD Resort miliknya, dia memulakan perniagaan dengan mengambil upah kerja menjahit dari rumah bersama seorang rakan menggunakan tiga mesin jahit yang dibeli.
Menerusi duit yang dikumpul dengan upah menjahit itu, Muhammad Hanif mula menyewa sebuah premis di Nong Chik Heights pada 2016 dan dalam tempoh itu sehingga hari ini, dia mengubah suai premis itu secara berperingkat-peringkat.
Hasil usaha anak muda yang berasal dari Sik, Kedah itu, jenama Hanif Hussin kini mula dikenali, malah turut mendapat kepercayaan mereka berstatus orang kenamaan (VIP) termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Bukan mudah, kata Muhammad Hanif kepada Utusan Malaysia ketika ditanya mengenai perjalanannya memulakan jenama Hanif Hussin.
“Masa mula-mula, saya tidak mempunyai sumber untuk memulakan perniagaan ini dan hasil duit jual kereta, saya beli tiga mesin jahit biasa dan sebuah motosikal bagi memudahkan pergerakan.
“Pada awal, saya mengambil upah jahit daripada premis yang sudah lama bertapak dan mempunyai nama, daripada situ saya belajar dan menimba ilmu selok belok perniagaan dalam bidang ini,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh menjalankan perniagaan itu, dia turut berdepan dengan mereka yang liat untuk melunaskan pembayaran sekali gus menyukarkannya membuat pusingan modal.
Muhammad Hanif berkata, berbekalkan pengalaman dan ilmu yang dipelajari, dia kini mampu menyediakan perkhidmatan bukan sahaja membuat kemeja dan baju Melayu, malah kini menerima tempahan membuat sut.
Pada masa sama, dia yang turut mempunyai kiosk di Angsana Mall Johor Bahru turut memperkenalkan kemeja bermotifkan batik corak lebih moden dengan harga berpatutan kerana mahu menggalakkan lebih ramai orang mengenakan pakaian batik.
Bercerita mengenai perancangan masa depan, dia yang kini menantikan kelahiran anak sulung hasil perkahwinan dengan Nurul Aishah Atan, 27, merancang untuk memperluaskan perniagaan dengan menyediakan pakaian siap dipakai (RTW) untuk lelaki dan wanita.
“Saya mahu menjadi seperti Ortega yang popular dengan jenama Zara di mana beliau juga dikenali sebagai pengasas fast fashion iaitu mampu menghasilkan pakaian dengan rekaan terkini serta mengikut trend dengan harga mampu milik,” katanya yang kini mempunyai lebih 15 tukang jahit.
Hanif Hussin
l Hanif Hussin diasaskan pada 2014 dengan modal RM5,000.
l Mempunyai premis di Nong Chik Heights dan kiosk di Angsana Mall Johor Bahru
l Pakaian yang dihasilkan turut boleh dibeli menerusi platform media sosial Facebook hanifhusssinapparel dan Instagram hanifhussin_studio.











