KUALA LUMPUR 15 Sept. – Penyatuan ummah yang kini dikenali sebagai Muafakat Nasional adalah satu harapan baru bukan sahaja orang Melayu Islam tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penyatuan itu juga menawarkan keharmonian dan perpaduan di negara ini.
“Kita menawarkan keharmonian penyatuan dan perpaduan, tanpa mengenepikan bangsa-bangsa serta kita sentiasa meraikan kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini,
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Saya ingin menjelaskan dan memperbetulkan kekeliruan yang mungkin timbul susulan laporan sebuah akhba bertajuk ‘Penyatuan UMNO-Pas untuk menang PRU – Noraini’ yang disiarkan pada Jumaat, 13 September lalu.
Cara laporan itu ditulis seolah-olah menggambarkan bahawa Wanita UMNO menyifatkan penyatuan ummah dengan Pas ‘bersifat sementara’ dan semata-mata hanya untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sahaja.
Ia tidak menggambarkan agenda keseluruhan tujuan penyatuan ummah seperti dihasratkan kedua-dua parti berkenaan.
Ia seolah-olah sengaja mensensasikan tajuk dan cara laporan. Ia mungkin strategi pemasaran namun cara tersebut mengundang persepsi buruk rakyat terhadap penyatuan UMNO dan Pas.
Pada sesi sidang media tersebut, pihak media telah bertanya pandangan saya mengenai siapa Perdana Menteri seperti disuarakan Lim Kit Siang.
Saya menjawab dengan melontarkan soalan kembali iaitu apakah ini bermakna Kit Siang mengakui yang Pakatan Harapan hanya kerajaan sepenggal?
Kemudian saya katakan: ”Beginilah.. mana-mana parti pun kalau ia parti politik, kalau berjuang mestilah ada matlamat nak menang dalam PRU akan datang. Menang PRU-15 hanya salah satu agenda penyatuan berkenaan, bukan satu-satunya agenda penyatuan.”
Saya juga ada menyebut bahawa penyatuan itu menawarkan keharmonian dan perpaduan di negara ini. Kita menawarkan keharmonian penyatuan dan perpaduan, tanpa mengenepikan bangsa-bangsa serta kita sentiasa meraikan kepelbagaian.
Kita juga mahu membuktikan kita pembangkang yang berkaliber, tidak pernah buat kacau sebaliknya menyeru kepada perpaduan.
Semua ini dilaporkan media lain kecuali yang hanya memetik penyatuan itu untuk PRU-15 sahaja sedangkan itu hanya salah satu matlamat yang saya suarakan.
Parti politik mana yang berjuang untuk kalah? Semua parti politik berjuang untuk menang. Allah dah tunjukkan jalan dan penyatuan ini adalah satu hikmah selepas PRU-14, Insya-Allah. – UTUSAN ONLINE











