Dua ahli Geng 08 antara ditembak di Rawang - Utusan Malaysia

Dua ahli Geng 08 antara ditembak di Rawang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis mengesahkan dua penjenayah warga tempatan yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di Kilo­meter 22, Jalan Batu Arang, Rawang dekat sini Sabtu lalu adalah ahli kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua lelaki itu yang dikenali sebagai G.Thavaselvan, 31, dan S.S. Mahendran, 23, yang masing-masing aktif sekitar daerah Rawang dan mempunyai lebih 20 rekod jenayah lampau berkaitan samun.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka yang terbunuh dalam kejadian tersebut dikenali sebagai J. Vijayaratnam, 40, berasal dari Sri Lanka.

“Pengesahan dua identiti warga tempatan dibuat melalui pengesahan cap jari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), manakala warga Sri Lanka pengecaman dibuat oleh anak tirinya serta berdasarkan laporan kehilangan yang dibuat oleh ahli keluarga.

“Semakan rekod mendapati Thavaselvan mempunyai 23 rekod lampau berkaitan samun dan pernah ditahan dibawah Ordinan Darurat 1969 pada tahun 2006, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada tahun 2014 serta tersenarai dalam individu dikehendaki,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Azam menambah, Mahendran pula mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah curi di daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Menurutnya, warga Sri Lanka itu juga turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan curi di Sentul, Kuala Lumpur pada tahun 2016 dan suspek juga telah tinggal lebih masa di negara ini.

“Hasil semakan kita mendapati suspek ini juga telah mengikuti program pemutihan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen pada tahun 2013 yang sepatutnya telah diusir keluar sebelum ini.

“Berdasarkan rekod yang kita perolehi tiada data menunjukkan kemasukan Vijayaratnam ke negara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan sama ada suspek tidak keluar semasa pemutihan itu kerana dia mempunyai kes pada tahun 2016,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, pihak polis kini sedang mengesan isteri Vijayaratnam dikenali sebagai G. Moganambal, 35, yang dipercayai hilang pada hari kejadian.

Katanya, wanita berusia 35 tahun yang beralamat di Taman Bayu Permai, Rawang itu telah menghilangkan diri dan masih gagal dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya dakwaan ahli keluarga Moganambal bahawa dia berada di dalam kereta bersama tiga penjenayah semasa kejadian, Noor Azam menafikannya dan mengesahkan hanya tiga suspek sahaja di dalam kereta Volkswagen Polo terbabit.

Dalam pada itu, Noor Azam berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia untuk berjumpa sesiapa sahaja termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Kosmo! Online pada Ahad lalu melaporkan polis menembak mati tiga penjenayah yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah di Kilo­meter 22, Jalan Batu Arang, Rawang.

Kesemua suspek warga tempatan yang belum dikenal pasti identiti itu mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 5 pagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×