Pada dekad 70-an, isu yang paling besar mewarnai suasana negara ini ialah politik, iaitu tentang isu hak ketuanan orang Melayu ke atas negara ini. Untuk melihat susur galur situasi tahun 70-an tinjauan ke belakang perlu dilakukan kerana peristiwa pada dekad 60-an berperanan besar mengheret sentimen rakyat khususnya orang Melayu hingga dekad 70-an.
Ketidakpuasan orang Melayu terhadap keadaan kemiskinan, ketidakadilan pemerintah, dualisme ekonomi antara kaum, khususnya antara Cina dengan Melayu yang jelas memenangkan orang Cina dan penyelewengan tanggungjawab dalam kalangan ahli politik, mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat.
Ini dapat dilihat, misalnya dalam peristiwa penerokaan tanah di Sungai Sireh dan Teluk Gong, Selangor yang dipimpin oleh Hamid Tuah, selain isu kelaparan di Baling, Kedah. Isu ini mendapat liputan besar-besaran dalam media massa dan banyak pihak termasuk golongan mahasiswa yang ikut serta menyebelahi perjuangan rakyat.
Berita berkaitan:
Selain itu, telah timbul beberapa siri konflik perkauman terutama antara Cina dengan Melayu yang berpunca daripada isu hak ketuanan Melayu. Dalam hubungan ini, isu bahasa sebagai unsur simbolik ketuanan Melayu telah tercetus sejak tahun 50-an lagi tetapi kemuncaknya berlaku apabila Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 dibentangkan di Parlimen pada 23 Februari 1967.
Rang Undang-Undang Bahasa ini mengundang kemarahan orang Melayu kerana memberikan kelonggaran kepada bahasa lain. Kelonggaran ini menjadi alasan bagi orang Cina untuk memperjuangkan bahasa Cina yang secara tidak langsung cuba menggugat kuasa politik orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Percubaan orang Cina, khususnya DAP dan MCA, untuk mengangkat taraf bahasa Cina supaya seiring kedudukannya dengan bahasa Melayu mendapat tentangan daripada orang Melayu.
Walaupun penentangan itu tidak mendatangkan kesan terhadap pelaksanaannya, kebimbangan dalam kalangan cerdik pandai Melayu tidak reda. Kebimbangan orang Melayu memang berasas kerana pada masa sama, walaupun orang Cina berjanji tidak akan menuntut bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi negara, tuntutan mereka untuk menubuhkan Universiti Merdeka merupakan satu ancaman kepada pendidikan kebangsaan.
Kemuncak konflik perkauman berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969 yang mengakibatkan kematian 196 orang dan daripada jumlah itu, 172 orang terbunuh di Selangor. Angka rasmi bilangan yang cedera ialah 493 orang. Peristiwa ini terlalu pahit untuk ditelan oleh rakyat negara ini kerana darah menjadi taruhan.
Menurut Ahmat Adam walaupun peristiwa ini dibakar oleh kerenah agitator selepas pilihan raya 1969, isu bahasa juga secara tidak langsung merupakan pencetus konflik: “Masalah bahasa yang menjadi tawar-menawar dalam perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan telah timbul sebagai salah satu sebab polarisasi kaum di Semenanjung Malaysia. Kelancangan kaum bukan Melayu dalam mengungkit-ungkit soal bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara dan permainan politik mereka ingin menyelewengkan Dasar Pelajaran Kebangsaan telah menimbulkan amarah orang Melayu kerana menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal di negara ini. Samalah dengan cubaan untuk menafikan bahawa orang Melayu adalah peribumi negeri ini.”
Akhirnya kerajaan bertegas dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan pada tahun 1970, iaitu melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang tertangguh sejak tahun 1967 bagi menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Serentak dengan itu tertubuhlah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Mulai tahun itu juga sekolah aliran Inggeris mula dihapuskan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan.
Dengan ini, senario pendidikan telah berubah apabila pelajar Melayu mendapat peluang yang lebih besar untuk memperoleh pendidikan tinggi.
Menyedari bahaya pergeseran antara kaum, kerajaan telah mengambil langkah reaktif dan proaktif bagi membendung peristiwa 13 Mei berulang. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak ketika itu telah membayangkan bentuk langkah yang perlu diatur oleh rakyat Malaysia pada dekad 70-an. Agenda negara pada dekad 70-an ialah mencari atau memantapkan wajah kebangsaan.
Bagi tujuan itu, kerajaan telah merangka atau memantapkan beberapa dasar yang bertujuan mewujudkan perpaduan antara kaum. Dasar-dasar ini antaranya menyentuh aspek ekonomi (Dasar Ekonomi Baru), budaya (Dasar Kebudayaan Kebangsaan), dan memperkenalkan Rukun Negara.
Kesusasteraan Melayu turut mendapat nafas baharu, lebih-lebih lagi apabila gagasan Kesusasteraan Kebangsaan dihangatkan semula bagi memberikan makna baharu, sesuai dengan aspirasi negara yang sedang membentuk identiti kebangsaannya.
Sebelum ini, pada tahun 50-an lagi telah bermula perbincangan tentang gagasan Kesusasteraan Kebangsaan tetapi ketika itu bahasa tidak menjadi perhitungan oleh pendukungnya.
Pada masa itu (awal 50-an) corak kesusasteraan negara ini berdasarkan kebebasan media. Kesusasteraan dalam semua bahasa dianggap sebagai kesusasteraan kebangsaan dan kesannya ialah bahasa Inggeris mendapat tempat istimewa dalam gagasan itu. Dialog terus berlaku sehingga akhir tahun 1960-an dan hingga Disember 1970 Ikatan Penulis Pulau Pinang atau Penang Writers Circle masih meneruskan cita-cita keinggerisan ini.
Hanya apabila kerajaan bertegas dengan dasar bahasa pada tahun 1970 barulah dialog yang menguja sentimen Melayu terhenti. Selepas itu, apabila gagasan Kesusasteraan Kebangsaan dengan identiti baharu ditegaskan oleh beberapa tokoh, tiada suara yang menentangnya.
Mohd. Taib Osman dan Ismail Hussein adalah antara tokoh yang memberikan penegasan tentang konsep Kesusasteraan Kebangsaan. Mohd. Taib menggunakan nama Kesusasteraan Malaysia manakala Ismail menegaskan penggunaan nama Kesusasteraan Nasional.
Kedua-duanya bagaimanapun, mempunyai aspirasi yang sama iaitu meletakkan bahasa Melayu sebagai asas Kesusasteraan Kebangsaan. Menurut Ismail: “….hanya sastera yang tertulis dalam Bahasa Melayu di Malaysia yang dapat dianggap sebagai Kesusasteraan Nasional Malaysia. Sastera-sastera dalam bahasa bumiputera yang lain (Iban, Melanau, Bisaya, Murut, Kelabit, Kayan, Kenyah, Punan, dll.) dapat dianggap sebagai Sastera Daerah, manakala sastera-sastera dalam bahasa-bahasa Mandarin, Tamil dan sukuan adalah juga Kesusasteraan Malaysia, tetapi oleh sebab sastera-sastera ini terbatas penontonnya kepada golongan yang tertentu, maka tidak dapat kita menganggapnya sebagai Kesusasteraan Nasional.
Konsep Kesusasteraan Kebangsaan mungkin tidak memberikan makna yang besar kepada pemikiran penulis kerana mereka tetap mengarang tanpa berpandukan sebarang peraturan yang mengikat. Namun, secara tidak langsung, gagasan Kesusasteraan Kebangsaan ini menjadi pemangkin keaktifan penulisan kerana dengan wujudnya gagasan yang jelas, kegiatan sastera semakin rancak termasuklah pengenalan beberapa peraduan menulis dan Hadiah Karya Sastera yang diperkenalkan sejak 1971.
Galakan daripada kerajaan yang sudah bermula sejak penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semakin diperkuat oleh cita-cita kebangsaan ini. Pengenalan Hadiah Karya Sastera pada tahun 1971 merupakan bukti kesungguhan kerajaan memperkembang sastera Melayu.
Galakan dan rangsangan daripada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak amat jelas ketika itu. Beliau memberikan sokongan yang kuat terhadap kegiatan sastera dan sedia menimbangkan beberapa keistimewaan kepada penulis.
Kini permasalahan dekad 70-an berulang, dan kita bergelut lagi dengan kepercayaan rencam yang sudah semakin pekat baurannya. Bagaimana pula sikap pemerintah dalam menangani krisis kepercayaan dan ‘iman’ rakyat terhadap asas penyatuan kebangsaan, termasuk bahasa, sastera dan budaya sekarang?











