KLANG: Hampir 1,000 penduduk di Pangsapuri Taman Seri Andalas di sini tertekan apabila terpaksa berdepan kompaun meletak kenderaan terkumpul antara RM30,000 hingga RM54,000.
Ia berpunca daripada kekurangan tempat letak kereta di kediaman mereka hingga terpaksa meletakkan kenderaan di luar kawasan atau petak yang dibenarkan sehingga dikompaun Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Seorang penduduk, Kabri Baduhai, 47, berkata, kekurangan tempat letak kereta adalah masalah utama di kawasan perumahan berkenaan menyebabkan ramai terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di luar kawasan.
“Saya berpendapatan sederhana, tidak mampu hendak jelaskan jumlah saman tersebut. Saya bukan sengaja, tetapi ia berpunca daripada masalah parkir yang tidak mencukupi di kawasan ini.
“Pihak penguat kuasa MBDK sering membuat pemantauan dan memberi kompaun hingga jumlah terkumpul kompaun mencecah lima angka sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui semalam.
Jelas pemandu lori itu, dia berharap satu penyelesaian masalah kompaun boleh diatasi jika isu kekurangan parkir di kawasan dihuni lebih 900 penduduk tersebut juga dapat diselesaikan dengan baik.
Sementara itu, seorang warga emas, Sharif Nengah, 75, memberitahu, dia turut mempunyai tunggakan kompaun parkir mencecah lima angka sebelum ini dan membeli pas bulanan parkir bernilai RM30.
“Namun apabila harganya naik kepada RM80 sebulan, memang saya tidak mampu. Saya pun kini mengharapkan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membayar sewa rumah dan lain-lain.
“Kompaun saya berjumlah RM33,000, terkumpul lebih tiga tahun dan saya tidak mampu hendak langsaikan walaupun diberi diskaun. Saya memohon untuk MBDK memberi kelonggaran untuk penghuni pangsapuri di sini kembali dibenarkan membeli pas bulanan RM30,” ujarnya.
Bagi seorang peniaga, Marcus Ng, 39, masalah kesesakan berlaku akibat ruang parkir yang tidak perlu dibayar dipenuhi kereta milik penduduk dan orang luar.-UTUSAN










