[VIDEO] Malaysia-Indonesia, 
mari bicara hal lebih besar - Utusan Malaysia

[VIDEO] Malaysia-Indonesia, 
mari bicara hal lebih besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMAAT lalu, delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dijadual menemu bual Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Presiden, Jakarta yang diatur bilionair, Rusdi Kirana yang juga Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia. Temu bual itu sempena lawatan Jokowi ke Putrajaya, 8 Ogos ini.

Tetapi disebabkan keterbatasan waktu mendapatkan kelulusan di Pejabat Presiden, program itu ditukar kepada lawatan ke kumpulan Lion Air termasuk ke Lion City di Balaraja, Banten seluas 30 hektar milik Rusdi.

Penasihat ekonomi Presiden ini sebenarnya mempunyai akses terus kepada Jokowi tetapi sebagai diplomat, beliau perlu mematuhi prosedur Kementerian Luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebagai ahli perniagaan berjaya, Rusdi yang juga pemilik Malindo Air mempunyai gagasan besar bagi mengoptimumkan potensi ekonomi dua negara serumpun ini bagi menyejahterakan rakyatnya.

Ikuti temu bual wakil Utusan, ZULKEFLI HAMZAH dan METRA SYAHRIL MOHAMED di tingkat 8, Lion Tower, Jakarta Pusat yang turut bergegar malam itu kerana gempa sekuat 6.9 pada skala Richter melanda Banten.

 

Apa agenda kunjungan Presiden Jokowi kali ini?

RUSDI: Tujuan kunjungan ini adalah bagaimana hubungan dua negara yang sudah baik ini akan ditingkatkan lebih baik terutama perdaga­ngan dan perlindungan warga Indonesia di Malaysia.

Bagaimana pandangan Jokowi terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad?

RUSDI: Presiden Indonesia amat menghormati Tun. Waktu Tun mahu dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri, Jokowi antara pemimpin negara pertama yang memberikan ucapan selamat.

Ketika Tun datang ke Jakarta, Jokowi sendiri jemput Tun di lapangan terbang, selalunya diwakilkan sahaja. Sebagai bangsa Timur, kita hormati orang yang lebih tua, tetapi kita tidak ikut campur politik dalaman Malaysia. Siapapun rakyat pilih, kita hormati. Tun kita lihat sebagai orang tua dan kita hormati beliau pada usia itu mahu berbakti kepada negara.

Apakah hubungan perdaga­ngan Malaysia-Indonesia ber­ada pada tahap memuaskan?

RUSDI: Memuaskan (tetapi)pelaburan Malaysia di Indonesia berada pada peringkat keenam, namun saya rasa ini boleh ditingkatkan. Salah satu contoh diharapkan kepada Malaysia ialah Kereta ASEAN.

Bagaimana Pertamina dan Petronas itu dapat menjalin kerjasama, juga dari segi pelancongan, komoditi dan minyak sawit mentah (CPO). Kerjasama dalam bidang perikanan juga ada kalanya berdepan konflik. Intinya, hubungan perdagangan ini sudah baik namun kurang optimum. Kita harus membuat regulasi untuk hubungan ini dapat dioptimumkan.

Dalam bidang pelancongan, bagaimana boleh ditingkatkan?

RUSDI: Kita ini terlalu fokus untuk warga Malaysia berkunjung ke Indonesia. Begitu juga kerajaan Malaysia mengharapkan warga Indonesia datang ke Malaysia. Ini baik tetapi itu bergantung kepada satu-satu musim. Kalau musim cuti sekolah, baru ada pelancong. Kalau musim lain itu agak sepi.

Alangkah baiknya kalau kita gerakkan sektor pelancongan ini sepanjang musim dengan melibatkan negara lain. Kita bekerjasama membangunkan bandar kembar atau antara negara ini. Kita sama tapi tidak serupa. Kita boleh sediakan pakej lawatan ke Malaysia dan Indonesia, contohnya Johor Bahru-Batam, Medan-Pulau Pinang dan Kota Kinabalu-Manado. Itukan dekat. Gerak kerja promosi itu kenapa tidak dilakukan secara bersama sehingga lebih efisien. Daripada kita buat iklan 
masing-masing dan delegasi promosi asing-asing, bermanfaat kalau kita bergabung.

Apa isu utama yang masih membelenggu tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia?

RUSDI: Menurut saya, adalah dari sisi keizinan visa kerja. Hal kedua dari segi bayaran pengurusan yang mahal untuk rakyat Indonesia memilih bekerja di Malaysia. Kami amat berharap bayaran itu dapat dikurangkan. Kami juga mengharapkan peme­rintah Malaysia dapat merekrut TKI dalam bidang formal dan tidak formal seperti di perhotelan dan peringkat tinggi. Tidak hanya dalam sektor perladangan, kilang dan pembantu rumah. Kita dua negara ini saling memberi sumbangan cukup besar kalau TKI boleh bekerja di perhotelan di Malaysia, tidak warga lain, itu akan jadi satu penghormatan kepada Indonesia.

Begitu juga dengan orang Malaysia yang bekerja di Indonesia?

RUSDI: Ya, harus diberikan kemudahan. Saya juga mendengar keluhan nelayan, supaya jangan jadi konflik tetapi saling menghormati. Keinginan kerajaan Malaysia adalah kalau nelayan melewati wilayah ma­ritim, janganlah ditangkap tetapi disuruh pulang sahaja. Saya pernah mengusulkan dilakukan satu standard, kalau kapal atau bot kecil, biarlah.

Itu nelayan, orang susah. Ikan itu tidak akan habis. Tetapi kalau kapal besar, itu bukan lagi nelayan. Kita harus berusaha, masalah besar kita jadikan kecil untuk hubungan dua negara ini. Masalah kecil kita jadikan tiada kerana kita saling memerlukan.

Masalah jerebu kembali berulang di Kuala Lumpur, apakah jaminan hal ini tidak berterusan?

RUSDI: Memang masalah jere­bu ini pemerintah Indonesia berusaha bahkan memberikan tidak hanya teguran keras tetapi menyenaraihitamkan mereka yang melakukan kebakaran dengan sengaja. Bagaimana kita boleh bekerjasama memadamkan kebakaran.

Itu lebih baik berbanding kita anggap ini masalah kalian, ini masalah saya, kerana kita jiran. Apa yang kita khuatirkan masalah jerebu ini dibawa ke politik. Kerana jerebu, maka negara luar ‘mengharamkan’ import CPO, kita tidak mahu negara ketiga mengambil kesempatan itu.

Dalam isu penetapan harga CPO, bagaimana kerjasama boleh ditingkatkan?

RUSDI: Sekali lagi kita harus kerjasama. Mengapa kita fikirkan eksport itu dalam bentuk CPO sahaja. Kita usahakan minyak isirung sawit mentah (CPKO) untuk dijadikan bahan bakar pesawat. Tetapi ini memerlukan pelaburan yang tinggi. Harus ada skala ekonomi­nya. Dan kalau dua negara ini bergabung, tentu akan berhasil.

Jangan hanya fikir stabilkan CPO dengan melobi Kesatuan Eropah (EU), sedangkan boleh diubah, mungkin kepada bahan bakar pesawat. Saya sendiri selaku pengusaha syarikat penerbangan menggunakan lima juta liter bahan bakar pesawat sehari. Belum syarikat penerbangan lain. Me­ngapa kita tidak membangun kilang menghasilkan bahan bakar itu.

Bila kita boleh lihat konsep Malindo (penerbangan Malaysia-Indonesia) dipraktikkan kepada bidang lain?

RUSDI: Sebagai ahli perniagaan dan duta, masalah kita adalah bergantung kepada import. Bila bercakap soal peluang, Malaysia mempunyai pengalaman membangunkan kereta, maka ada idea Kereta ASEAN. Indonesia pula mempunyai pengalaman membuat pesawat. Kenapa kita tidak sama-sama membangunkannya?

Kalau kita serius membangunkan kesejahteraan rakyat, waktunya kita memasuki era kerjasama perdagangan. Kita ini hanya bica­ra masalah nelayan, TKI. Tetapi mari kita bicara yang lebih besar, yang mendatangkan kesejahte­raan kepada rakyat. Masalah kita ini masalah tradisional. Kita bicara masalah sempadan sejak sekian lama, soal perikanan tak selesai. Bila kita mahu ‘move on’ yang benar-benar menghasilkan kesejahteraan kepada rakyat.

Adakah ini masa yang terbaik?

RUSDI: That is no more time. Kita ini hidup seperti negara yang belum merdeka dalam erti kata ekonomi. Kita tidak boleh bergantung kepada negara mana pun. Kita tak boleh berfikir Malaysia itu lebih baik dari Indonesia dan begitu juga sebaliknya.

Kalau kita fikir kerjasama untuk rakyat, kita akan lebih baik. Kita punya budaya yang sama tetapi kurang satu, kita rasa seperti bersaing. Kita bersaing sesama kita. Kenapa? Jangan ada perasaan persaingan. Utamanya, ja­ngan soal kecil kita terus berkelahi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini