WALAUPUN terdapat perbezaan pendapat tentang hukum membawa kanak-kanak ke masjid, namun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat ia adalah bertepatan dengan roh syarak.

Memberi galakan kepada kanak-kanak untuk ke masjid lebih utama sebagai latihan bagi memupuk rasa cinta kepada masjid.
Bagaimanapun, kanak-kanak tetap ‘kanak-kanak’ walaupun mereka berada di masjid. Adalah mustahil untuk mereka mengubah tingkah laku menjadi seperti orang dewasa.
Mereka bersemangat, perlu bergerak dan belum boleh mengawal diri. Ruang yang luas dan lapang sangat mengujakan mereka.
Lapar, letih, mengantuk, panas, sejuk, dan bosan akan membuatkan mereka meragam.
Apabila membawa kanak-kanak ke masjid, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengamalkan tujuh tips ini:
1- Menyediakan keperluan sewajarnya supaya mereka tidak lapar dan dahaga
2- Memastikan keselesaannya supaya mereka mempunyai ruang dan tidak kebosanan
3- Memberi bimbingan kepadanya terlebih dahulu dan dari masa ke semasa supaya mereka tahu adab di masjid
4- Mengajak dan memberi galakan untuk mereka mengikuti imam supaya mereka dilatih untuk bersolat
5- Memberi pujian apabila mereka berkelakuan elok supaya mereka bersemangat untuk terus menjadi baik. Bahkan ibu bapa juga boleh memberikan ganjaran hadiah jika mereka mengikut tertib
6- Memberi peringatan jika mereka melakukan kesilapan supaya mereka memperbetulkan kesilapannya
7- Menegah jika mereka keterlaluan supaya mereka tahu yang mereka sudah melampaui batas
Latihlah anak-anak ke masjid dari semasa ke semasa supaya mereka menjadi biasa. Kebiasaan akan menjadikan mereka lebih tertib dan tenang.
SUMBER https://tzkrh.com/7-tips-mendidik-anak-anda-ketika-berada-di-masjid/











