LONDON – Bapa Moise Kean berkata, dia pernah menghalang anaknya daripada menyertai Manchester United beberapa tahun lalu.
Penyerang Juventus itu kini antara pemain muda paling menyerlah di Itali, dan bersedia untuk terbang ke England.
Goal sebelum ini melaporkan pemain berusia 19 tahun itu sedia menyertai Everton dengan nilai 32 juta euro (RM148 juta).
“Saya telah halang anak saya pergi ke United pada masa itu apabila ibunya mahu menghantarnya ke United.
“Saya kata tidak boleh kerana saya mahu dia kekal di Juventus dan terus belajar kerana dia masih belum matang.
“Untuk menghantar budak berusia sekitar 14-15 tahun tidak berbaloi pada waktu itu,” kata bapa Moise.
Kean kini dalam persediaan berpindah ke England setelah menjaringkan enam gol dalam saingan Serie A untuk Juventus musim lalu biarpun sekadar membuat 13 penampilan dan muncul lima kali sebagai kesebelasan utama.- AGENSI











