KUALA LUMPUR 2 Ogos – Kerugian bersih Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) Malaysia bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019 berkurangan kepada RM9.48 juta berbanding RM49.48 juta setahun lepas.
MHB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia bagaimanapun berkata, perolehan meningkat 23.9 peratus kepada RM276.45 juta daripada RM223.04 juta sebelumnya kebanyakannya disebabkan hasil yang lebih tinggi dalam segmen kejuruteraan berat dan marin.
Katanya, bagi enam bulan berakhir 30 Jun, kerugian bersih MHB jatuh kepada RM38.84 juta daripada RM74.75 juta setahun lepas disokong oleh pendapatan sebanyak RM479.56 juta berbanding RM411.31 juta setahun sebelumnya.
Mengenai prospek masa depan, MHB berkata, unjuran keseluruhan bagi separuh kedua tahun ini kekal tidak menentu dalam keadaan ketegangan perdagangan yang berpanjangan, memperlahankan pertumbuhan ekonomi serta peningkatan ketegangan geopolitik yang mana ia terus memberi kesan terhadap keyakinan perniagaan dan pelaburan.
“Walaupun dalam keadaan ketidaktentuan, aktiviti minyak luar pesisir dan pengeluaran gas terus bertambah baik walaupun secara sederhana.
“Kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap prospek industri dalam jangka masa terdekat dan modal dibelanjakan mengikut keadaan oleh penggiat minyak dan gas utama,” katanya di sini hari ini.
MHB berkata, penganugerahan kontrak baru-baru ini daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) untuk projek Pembangunan Gas Kasawari membuktikan komitmen kumpulan untuk memastikan kemampanan nilai kontraknya.
“Memandangkan prospek industri terus berada dalam keadaan mencabar pada tahun kewangan semasa, kumpulan tetap berhati-hati dan akan memberi tumpuan untuk menambah nilai perolehan di pelbagai kawasan geografi serta mempelbagaikan perniagaan lain.
“Pengurusan kos, kualiti dan projek yang dapat disampaikan tepat pada masanya kekal sebagai keutamaan untuk memastikan keuntungan yang lebih baik,” katanya. – BERNAMA










