Remaja dirogol lelaki baru dikenali
KUALA LUMPUR 2 Ogos- Akibat terlalu mempercayai rakan, seorang remaja perempuan di Tambunan, Sabah dirogol dua kali oleh lelaki yang baru dikenali.
Sabah Post melaporkan, difahamkan, mangsa berusia 15 tahun itu dipercayai dirogol oleh lelaki berusia 19 tahun pada Mac dan April lalu di dua lokasi berbeza.
Bagaimanapun, laporan polis hanya dibuat semalam oleh ibu mangsa selepas isteri suspek memaklumkan berhubung kejadian itu.
Sumber berkata, kejadian pertama dipercayai berlaku pada 16 Mac lalu ketika mangsa menemani rakannya yang berusia 17 tahun untuk bertemu teman lelaki rakannya.
“Mereka kemudiannya keluar menemui suspek dan singgah di sebuah rumah kosong sebelum mangsa dirogol. Rakan serta teman lelaki rakan mangsa nampak kejadian itu namun hanya membiarkan serta tidak berbuat apa-apa.
“Mangsa yang berada dalam ketakutan hanya mendiamkan diri pulang ke rumah bersama rakan dan tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa,” lapor Sabah Post, hari ini.
Dalam pada itu, sumber berkata, kejadian kedua berlaku pada 28 April lalu selepas bapa mangsa menghantarnya ke sekolah namun dia serta rakannya telah ponteng sebelum bertemu dengan teman lelaki rakannya.
Jelas sumber, remaja berkenaan dihantar ke kawasan empangan air Kampung Pupuluton serta mendapati suspek telah menunggu mangsa
“Lelaki berkenaan merogolnya dan mangsa cuba melawan tetapi tidak berjaya.
“Suspek kini berjaya ditahan pada hari laporan dibuat ketika suspek berada di sebuah kedai terletak di Kampung Nambayan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Keningau, Deputi Superintenden Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi melalui applikasi WhatsApp mengesahkan kejadian terbabit dan menyatakan siasatan lanjut masih giat dijalankan.
Katanya, Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE











