Marquez catat kemenangan ke-50 - Utusan Malaysia

Marquez catat kemenangan ke-50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRNO, Republik Czech – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez terus mendominasi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini apabila juara dunia lima kali itu melakar kemenangan keenam pada perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech malam semalam.

Meskipun perlumbaan sedikit terganggu ekoran hujan di Litar Automotodrom Brno, namun ia tidak memberi tekanan kepada pelumba Sepanyol tersebut apabila berjaya melengkapkan kemenangan ketiganya di Litar Brno.

“Pada awal perlumbaan saya hanya beri fokus sepenuhnya kerana ketika itu saya lihat pelumba di belakang saya sangat laju terutama pasukan Ducati dan Suzuki. Saya mengambil langkah berhati-hati pada awal perlumbaan kerana terdapat kesan basah di selekoh pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika dalam baki 10 pusingan terakhir saya lihat keadaan tayar sedikit bermasalah dan saya juga hampir terjatuh, tetapi saya bernasib baik kerana berjaya mengawalnya. Saya gembira kerana melakar kemenangan hari ini (semalam). Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang minggu ini,” kata Marquez sejurus tamat perlumbaan.

Hasil kemenangan tersebut, Marquez terus selesa memegang carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 210 mata. Lebih manis, ia adalah kemenangan ke-50 Marquez bersama pasukan Honda dalam perlumbaan kelas premier tersebut selepas memulakan saingan pada 2013.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang dilihat bakal memberi cabaran ­kepada Marquez musim ini, terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua, manakala pelumba Pramac Ducati, Jack Miller di tempat ketiga.

Ketika ini, Dovizioso ­ke­tinggalan 63 mata dibe­lakang Marquez dalam kedudukan keseluruhan selepas mengumpul 147 mata.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah pula gagal menamatkan saingan selepas terjatuh ketika perlumbaan ­berbaki 13 pusingan untuk tamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini