PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya merampas sosej babi seberat 35 kilogram (kg) dan 20 kg menerusi dua tangkapan berbeza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Sepang dekat sini pada 28 dan 31 Julai lalu.
Maqis dalam satu kenyataan berkata, rampasan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu masing-masing dibuat ke atas dua warga tempatan yang pulang dari negara China.
“Hasil pemeriksaan pada pukul 6 petang di balai ketibaan antarabangsa KLIA pada 28 Julai lalu menemui 20 pek sosej babi seberat 20kg dalam satu bagasi seorang warga tempatan dari China.
“Kes kedua melibatkan rampasan 35kg sosej babi dibalut plastik yang diletakkan dalam tiga buah berasingan ketika pemeriksaan pada pukul 6 pagi dibuat ke atas konsainan dari China yang dibawa masuk seorang warga tempatan,” katanya di sini hari ini.
Maqis berkata, konsainan tersebut dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan bertujuan bagi mencegah penularan virus Africa Swine Fever (ASF).
Menurutnya, kerajaan juga telah mengeluarkan arahan larangan pengimportan daging babi serta produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF yang dibawa oleh penumpang menerusi laluan udara, darat serta laut.
“Antara produk berisiko dalam penularan virus ASF termasuklah babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, produk babi dalam tin dan daging babi proses seperti sosej serta babi salai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Maqis Negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, perbuatan mengimport tanpa permit sah daripada jabatan itu adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah seksyen 11 (3), akta sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Maqis berkata, pihaknya sentiasa memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia.
“Maqis juga sentiasa mengawal kemasukan penyakit yang boleh mengancam industri penternakan dan makanan di negara ini,” ujarnya. – K! ONLINE











