ALOR SETAR 31 Ogos – Liga Bola Sepak THB-KFA 2019 yang menampilkan pasukan-pasukan amatur di negeri ini berupaya membantu meningkatkan pembangunan bola sepak Kedah.
Liga edisi pertama yang bermula sejak April lalu juga memberi pilihan kepada pasukan Kedah menyiapkan pasukan untuk mengharungi aksi dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 yang akan membuka tirai pada 14 September ini.
Pada Selasa ini, dua pasukan, Suka Menanti FC dan Peqedu FC, masing-masing sebagai juara bagi zon Utara dan Selatan akan berentap dalam pentas akhir di Stadium Darul Aman bagi membawa pulang gelaran sebagai juara sulung.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Kamal Idris Ali berkata, liga tersebut memberi peluang kepada para pemain di seluruh negeri ini mempamerkan bakat mereka yang boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
“Sebelum Liga THB-KFA ini muncul, KFA hanya mengharapkan pemain-pemain dari pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk mengisi posisi dalam pasukan utama Liga Malaysia.
“Justeru, sudah tentu liga ini memberi peluang kepada kita mencungkil bakat-bakat baharu terutamanya pemain berusia bawah 20 tahun,” katanya dalam sidang akhbar Perlawanan Akhir Liga Bola Sepak THB-KFA di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar THB Infra, Murain Ahmad; Pengarah Pertandingan liga berkenaan, Shafferi Rejab dan Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Shamsudin.
Liga Bola Sepak THB-KFA 2019 yang menampilkan 20 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi merebut hadiah kemenangan keseluruhan yang bernilai lebih RM35,000.
Malah, belum sempat kejohanan itu melabuh tirai, pihak penganjur mendapat semangat tambahan apabila liga tersebut kini diiktiraf sebagai Liga M4 oleh Amateur Football League (AFL).
Sementara itu, Murain berkata, pihaknya bercadang untuk meneruskan liga tersebut pada edisi akan datang dengan kerjasama KFA memandangkan objektif penganjuran iaitu platform kepada pemain muda tercapai.
“Kita mungkin akan meneruskan pada edisi-edisi akan datang, malah sebenarnya pada tahun ini kita mendapat banyak permintaan daripada pasukan-pasukan untuk menyertai, tetapi kita terpaksa membuat tapisan bagi memastikan hanya yang berkualiti.
Ujar beliau, selain juara liga, pihaknya turut menyediakan anugerah pemain terbaik perlawanan, penjaring terbanyak, pemain berbakat bawah 20 tahun dan penjaga gol terbaik. – UTUSAN ONLINE










