JAKARTA 31 Julai– Kira-kira 45,000 penduduk atau separuh daripada populasi daerah Nduga, Papua melarikan diri akibat pertempuran antara tentera Indonesia dan kumpulan pemberontak bersenjata di wilayah itu.
CNN Indonesia yang memetik Ketua Jabatan Komunikasi dan Maklumat Nduga, Otomis Gwijangge sebagai berkata, kebanyakan pelarian berasal dari lapan daerah atau mukim iaitu Mapenduma, Kagayam, Mugi, Mom, Yall, Jirkuri, Yigi, dan Mbua.
Katanya, mereka melarikan diri ke Lanny Jaya, Jayawijaya, Mimika, Asmat dan Jayapura mencari tempat yang lebih selamat.
“Ini menjadikan sebanyak 45,000 daripada 106,000 penduduk Nduga melarikan diri ke daerah berhampiran dan menjadikan kebanyakan daerah itu kosong,” katanya.
Selain itu, kumpulan bantuan Tim Solidaritas memberitahu, sebanyak 139 orang pelarian meninggal dunia akibat sakit.
Menurut penyelidik dari Akademik Marthinus, Hipolitus Wangge, dalam dua minggu pertama bulan ini sahaja, tiga penduduk dilaporkan meninggal dunia semasa melarikan diri dari Nduga ke Wamena dan ada di antara mereka yang meninggal sebaik sahaja tiba di Wamena.
Namun, Pengarah bahagian Perlindungan dan Keselamatan Sosial, Kementerian Perhubungan Sosial, Harry Hikmat menafikan laporan tersebut dan mendakwa, hanya 53 orang penduduk Nduga mati di antara Disember tahun lalu dan bulan ini.
Menurutnya lagi, mereka meninggal dunia disebabkan faktor usia dan penyakit.
“Adalah tidak benar jika dikatakan lebih 130 individu mati di kem pelarian yang menempatkan mereka,” kata Harry. –AGENSI











