GRO sembunyi belakang almari, pintu elak dicekup - Utusan Malaysia

GRO sembunyi belakang almari, pintu elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Bersembunyi di belakang pintu dan almari semasa serbuan.

Itu antara taktik licik segelintir gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing bagi mengelak dicekup pihak berkuasa semasa serbuan di dua pusat hiburan di Bandar Baru Klang di sini semalam.

Bagaimanapun, taktik berkenaan gagal mengaburi pasukan serbuan dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menggeledah kedua-dua premis berkenaan bermula pukul 11.30 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, hasil serbuan di dua premis berkenaan menahan seramai 17 wanita warga asing disyaki GRO berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun bersama dua penjaga premis warga tempatan. 

“Kesemua GRO yang ditahan melibatkan 15 warga Vietnam dan dua warga Thailand.

“Turut dirampas adalah beberapa barangan antaranya, peralatan audio, bil, kalung dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati premis pertama telah beroperasi sejak setahun lalu dan pernah beberapa kali diserbu polis. 

Ujarnya, bagi premis kedua pula beroperasi tanpa lesen sejak lima bulan lalu. 

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.

” Kes disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas atau permit dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana menggajikan warga asing tanpa permit kerja yang sah,” jelasnya.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini