Dua pengembara AS ditahan Imigresen, bukan hilang - Utusan Malaysia

Dua pengembara AS ditahan Imigresen, bukan hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Dua pengembara warga Amerika Syarikat (AS), Samantha Henry dan Will Lucas yang didakwa hilang sebelum ini sebenarnya ditahan oleh Jabatan Imigresen atas kesalahan berkaitan pasport.

Sumber memberitahu, kedua-dua individu tersebut kini berada dalam tahanan Jabatan Imigresen namun tidak didedahkan lokasi depot tahanan terbabit.

Difahamkan, mereka dipercayai ditahan kerana pasport masing-masing tidak dicop sebelum tiba di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-dua suspek itu tidak hilang seperti yang tular di media sosial. Mereka dalam tahanan Jabatan Imigresen kerana kesalahan berkaitan pasport,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Baru-baru ini tular satu hantaran seorang pengguna Facebook mengatakan anak perempuannya, Samantha, 18, dan rakannya, Will, hilang sewaktu di Kuala Lumpur dan kali terakhir dihubungi pada 29 Julai lalu ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Hantaran di akaun Missing Persons in Malaysia itu juga mendakwa Samantha dan Will tidak menaiki pesawat yang sepatutnya untuk pulang ke Oregon, AS. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi turut mengesahkan kedua-dua warga AS itu tidak hilang seperti yang didakwa.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menahan seorang lelaki warga AS kelmarin yang dipercayai rakan kepada Samantha dan Will kerana menceroboh kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang, dekat sini.

“Suspek telah ditahan oleh anggota polis bantuan pada 29 Julai lalu pada pukul 12.45 tengah hari iaitu di pintu ketibaan antarabangsa KLIA2 kerana telah meluru masuk ke dalam pintu ketibaan tersebut tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa bahagian keselamatan. 

“Suspek dihalang tetapi tidak mengendahkan arahan anggota polis bantuan bertugas. Dengan bantuan anggota lain, polis bantuan telah tahan lelaki tersebut dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini