Ditahan ketika leka berjudi - Utusan Malaysia

Ditahan ketika leka berjudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Sebanyak lima lelaki ditahan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Cheras di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul tiga petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat snuker di Taman Kobena yang membawa kepada penahanan tiga individu yang sedang leka bermain judi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada seorang penjaga premis berusia 69 tahun dan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 54 dan 43 tahun.

“Kita juga merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk permainan judi atas talian seperti telefon bimbit pelbagai jenama(3), modem(2) dan wang tunai berjumlah RM79,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mokhsein, penjaga premis berkenaan turut ditahan untuk tindakan saman kerana menjalankan perniagaan tanpa mempunyai lesen yang sah selain disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam menjalankan perjudian atas talian.

Jelasnya, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah pusat snuker di Taman Tenaga, Cheras yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

“Dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 29 tahun telah ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu dan amphetamine,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek akan reman selama dua hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1982, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1982. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini