BATU GAJAH 2 Ogos – Seorang buruh binaan warga Indonesia maut ditikam selepas terbabit dalam pergaduhan antara rakan senegara di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di Jalan Bemban, Kampung Pisang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 24 tahun itu maut akibat kecederaan parah di bahagian badan dalam kejadian antara pukul 11 malam hingga 1.30 pagi.
Katanya, siasatan mendapati, punca kejadian itu adalah akibat perselisihan faham antara mangsa dan rakan sekerja.
“Apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian, suspek yang belum dikenal pasti identiti dan jumlah yang terlibat telah pun melarikan diri.
“Pemeriksaan ke atas mangsa yang maut di tempat kejadian itu mendapati terdapat kesan tikaman di badan dipercayai menggunakan senjata tajam. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati rumah kongsi berkenaan didiami kira-kira 50 buruh binaan warga Indonesia namun kesemua mereka melarikan diri sebaik sahaja pihak polis tiba di tempat kejadian.
Katanya, pemeriksaan di lokasi tersebut tidak menjumpai senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan Unit Anjing Pengesan PDRM (K9) telah dipanggil untuk bantuan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan motif kejadian tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 05-3629222,” katanya. – UTUSAN ONLINE











