Bursa Malaysia ditutup rendah, CI turun 0.75 peratus - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia ditutup rendah, CI turun 0.75 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada minggu ini pada paras rendah di semua kaunter berkaitan indeks kecuali indeks amanah pelaburan hartanah (REIT) dan selari dengan bursa serantau yang diheret turun oleh prestasi semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS) yang lemah, kata seorang peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.75 peratus lagi atau 12.31 mata untuk ditutup pada paras 1,626.76 daripada 1,639.07 semasa ditutup pada Khamis.

FBM KLCI yang dibuka 7.68 mata lebih rendah pada 1,631.39 bergerak antara 1,623.66 dan 1,631.42 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedudukan pasaran secara keseluruhannya kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 697 berbanding 209, manakala 341 kaunter tidak berubah, 650 tidak diniagakan dan 28 lagi digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.22 bilion unit bernilai RM1.76 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.02 bilion semasa ditutup pada Khamis.

Ketua penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd. Pong Teng Siew memberitahu Bernama, penurunan semalaman yang ketara di Wall Street adalah mengejutkan susulan pertikaian perdagangan AS-China kembali menjadi tumpuan.

“Pelabur segera memberikan reaksi negatif terhadap ciapan Presiden AS, Donald Trump bahawa beliau akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus terhadap import barangan China bernilai AS$300 bilion (RM1.24 trilion),” katanya.

Mengenai Bursa, Teng Siew berkata, data dagangan Malaysia bagi Jun yang mencatatkan kemerosotan dalam eksport dan import turut mendorong sesetengah pelaburan untuk tidak memasuki pasaran di tengah-tengah sentimen global yang lemah.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, perdagangan Malaysia pada Jun menguncup enam peratus berbanding bulan sama pada 2018 kepada RM142.08 bilion.

Katanya, eksport turun sebanyak 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion dengan import 9.2 peratus lebih rendah pada RM65.91 bilion. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini