PUTRAJAYA 2 Ogos – Warga Malaysia yang menetap dan sedang bercuti di Thailand diingatkan untuk berhati-hati susulan kejadian letupan bom di Bangkok hari ini.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, rakyat negara ini selain itu diminta untuk terus mengikuti perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat negara ini adalah digalakkan untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok ketika berada di Thailand dengan mengemukakan maklumat perjalanan menerusi emel [email protected]. Selain itu, mereka boleh menghubungi talian kecemasan menerusi talian +66870284659,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Beberapa siri letupan kecil telah menggegarkan Bangkok pada pagi tadi di empat lokasi berbeza hingga menyebabkan empat orang cedera ketika bandar itu menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-52/Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52).
Mesyuarat itu disertai wakil-wakil pelbagai negara seperti Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo serta menteri-menteri luar dari China, Rusia, Jepun dan Korea Selatan. – UTUSAN ONLINE











