KUALA LUMPUR 2 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai pilihan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan lagi kadar faedahnya pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp. Berhad (MARC), Nor Zahidi Alias berkata, walaupun senario asas mencerminkan OPR akan kekal pada status quo sehingga hujung tahun ini, namun tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan pelarasan pada 2020 jika keadaan ekonomi makro merosot.
Jelas beliau, prospek sedemikian akan meningkatkan daya tarikan bagi bon tempatan disebabkan oleh pulangan yang menarik dan prospek inflasi Malaysia yang baik.
“Aliran masuk asing terkumpul tahunan ke dalam bon tempatan dijangka bertambah baik berbanding pada 2016 hingga 2018.
“Oleh itu, ia akan mengurangkan beberapa aliran keluar yang mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini susulan ketegangan yang meningkat semula berhubung perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China selain tindakan FTSE Russell yang akan mengeluarkan bon kerajaan Malaysia daripada indeks bon globalnya,” katanya dalam kenyataan di si i hari ini.
BNM menurunkan OPR kepada tiga peratus berbanding 3.25 peratus yang mana ia adalah kali pertama sejak Januari 2018.
Sementara itu, Fed pada Rabu menurunkan kadar faedahnya buat pertama kali sejak krisis kewangan global pada 2008 dengan harapan dapat mencegah kemelesetan ekonomi. – UTUSAN ONLINE










