PORT DICKSON – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa syukur kerana PKR akhirnya mengambil tindakan memecat keahlian Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz atas kesalahan melanggar kod etika parti itu.
Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berasa ralat kerana tindakan itu tidak dilaksanakan dengan cepat.
“Saya harap selepas ini, sekiranya ada kes seperti ini, satu tindakan yang lebih cepat dan tangkas patut dibuat bagi mencegah spekulasi dan penyebaran cakap-cakap tidak betul dapat dihentikan secepat mungkin.
“Kalau tidak, rakyat Malaysia tidak ada kerja lain hendak buat dengan membaca perkara yang tidak membangunkan negara. Kita mesti hentikan budaya tidak sihat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra sempena sesi town hall semua kakitangan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di sini hari ini.
Zuraida diminta mengulas tindakan Lembaga Disiplin PKR memecat keahlian Haziq Abdullah dalam mesyuarat malam tadi.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata, Haziq telah membuat tuduhan rasuah secara terbuka terhadap pemimpin parti tanpa bukti, sekali gus melanggar kod etika parti.
Pemecatan tersebut dilakukan selepas tamat 14 hari yang diberikan kepada Haziq untuk memberikan surat tunjuk sebab.
Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, PKR tidak terjejas dengan isu skandal video lucah yang mengaitkan Haziq dengan seorang pemimpin parti tersebut.
“PKR masih parti politik dan tidak terbubar (akibat isu ini),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











