Wirdati terajui Pesuruhjaya Sukan - Utusan Malaysia

Wirdati terajui Pesuruhjaya Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa pensyarah kanan pusat sukan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Wirdati Mohd. Radzi dipilih sebagai Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) yang baharu di Putrajaya semalam.

Pensyarah kanan Pusat Sukan dan Sains Eksesais UM itu menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lepas, selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Syed Saddiq berkata, Wirdati dipilih mengisi jawatan tersebut berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang undang-undang sukan selain bergiat aktif dalam beberapa badan sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah muktamadkan calon dan saya sudah tandatangan surat. Sekarang kita tunggu pelepasan daripada UM dan pengumuman rasmi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau memang ada latar belakang sukan yang sangat kuat, bukan sahaja dalam persatuan sukan tetapi juga undang-undang sukan.

“Harapan saya, Wirdati akan bawa pembaharuan, reformasi untuk Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan meneruskan legasi begitu baik yang ditinggalkan oleh Datuk Zaiton yang dikenali sebagai wanita besi PPS. Kami berharap Wirdati akan membawa penekanan dan semangat sama untuk pembaharuan yang kita mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan u­lang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Syed Saddiq turut berterima kasih kepada pasukan pemilihan diketuai Ketua Setiausaha KBS, Dr. Waitchalla R.R.V. Suppiah yang membantu dalam menyenarai pendek, temu duga dan memilih calon sesuai.

Sebagai rekod, Wirdati merupakan Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta bekas bendahari (2014-2016) dan juruaudit (2016-2018) Persatuan Pengurusan Sukan Asia.

Beliau turut mempunyai kepakaran dalam Dasar Pendidikan, Pengurusan dan Pentadbiran (Undang-undang Pendidikan, Dasar Pendidikan, Tadbir Dalam Pendidikan, Pengurusan Sukan dalam Pendidikan); Pengurusan dan Pentadbiran Sukan (Pengurusan Sukan, Dasar Sukan, Penyelidikan Perbandingan dalam Sukan) dan Tadbir Urus (Undang-undang Sukan dan Tadbir Urus, Pe­ngurusan Risiko dalam Sukan).

Ditanya mengenai isu pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Sabtu lalu yang ditangguhkan, Syed Saddiq berkata, beliau menyerahkannya kepada PPS untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya rasa pendirian saya dalam hal ini, biar PPS buat keputusan, saya rasa ada sesi rundingan akan datang. Cuma saya harap ia diselesaikan dengan cepat, kita pun nak pastikan persediaan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dapat dilakukan secepat mungkin. Saya selalu tekankan dalam bab ini, kita ikut peraturan undang-undang, itu yang pen­ting,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini