KUALA LUMPUR – Calon Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin percaya Pesuruhjaya Sukan yang baharu, Prof Madya. Dr. Wirdati Mohd. Radzi mampu menyelesaikan kemelut semasa yang melanda badan induk orang kurang upaya berkenaan.
Pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM yang sepatutnya berlangsung pada 29 Jun lalu, terpaksa ditangguhkan selepas berdepan kemelut pencalonan apabila terdapat lima calon dikatakan menghantar borang pencalonan melewati tarikh akhir.
Kini MPM sedang menunggu tarikh baharu bagi menjalankan semula proses pemilihan dalam AGM mereka.
Megat D Shahriman berkata, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, sebaliknya lebih selesa mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Saya percaya Dr. Wirdati seorang yang mempunyai kredibiliti untuk berdepan isu sebegini. Dalam masa sama biarlah Pesuruhjaya Sukan menjalankan tugasnya,” kata Megat D Shahriman dalam satu majlis tajaan kepada pemain hoki Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) di sini, hari ini.
Mengikut perlembagaan, MPM akan menulis surat kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mendapatkan tarikh baharu tersebut sebelum memberi notis dalam tempoh 30 hari kepada ahli gabungan untuk hadir.
Ini bermakna, AGM hanya boleh dilangsungkan seawal-awalnya Ogos ini, bergantung kepada berapa cepat surat permohonan tarikh baharu itu diluluskan Pesuruhjaya Sukan.
Berdasarkan pencalonan asal, jawatan presiden menjadi perebutan antara Khairy Jamaluddin dan Megat D Shahriman selepas penyandang SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak empat tahun lalu.
Sementara itu, Megat D Shahriman yang juga Presiden KLHA berkata, tajaan kit latihan kepada pasukan KL Wipers oleh syarikat Fox Marketing mampu meningkatkan semangat semua pemain bagi menghadapi kempen Liga Hoki Remaja Malaysia 2019.
“Saya yakin tajaan ini adalah permulaan buat pemain-pemain kita dan akan ada yang bakal memberikan tajaan selepas ini.
“Diharapkan dengan tajaan sebegini mampu meningkatkan semangat semua pemain, malah jika mereka sama ada pasukan lelaki atau wanita berupaya muncul juara maka akan ada imbuhan buat pasukan nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











