LONDON – Pemenang tiga kali kejuaraan utama, Stan Wawrinka ditunjukkan jalan keluar oleh pemain kurang ternama yang memiliki ketinggian 6 kaki 11 inci, Reilly Opelka pada kejohanan tenis Wimbledon, hari ini.
Wawrinka, 34, yang dua kali berjaya mara sehingga ke suku akhir tewas 7-5, 3-6, 4-6, 6-4, 8-6 di tangan pencabar muda dari Amerika Syarikat yang merupakan pemain tertinggi dalam sukan tenis dan 13 tahun lebih muda daripada bintang veteran itu.
Opelka menyempurnakan 23 ace dan 59 winner pada pertemuan itu. Dia akan mencatat pertembungan sama ada dengan naib juara 2016, Milos Raonic dari Kanada atau wakil Belanda, Robin Haase.
Opelka bakal tampil buat kali pertama dalam pusingan ketiga pada kejuaraan Grand Slam, tetapi dia belum pernah meraih sebarang kemenangan pada pertandingan permukaan gelanggang rumput di peringkat tersebut.
Wawrinka mendapat tepukan daripada penonton selepas pemain itu memberikan pelukan kepada penjaga garisan selepas dia secara tidak sengaja melanggar wanita tersebut sewaktu dia berlari untuk menyempurnakan pukulan kilas.
“Saya terlajak sedikit hendak membalas servis. Saya dapat berasakan saya terlanggar penjaga garisan tersebut, jadi saya pasti dia kesakitan dan tidak gembira. Sebab itu saya berikan dia pelukan,” kata pemain Switzerland itu.
Dalam aksi hari ini, turut meneruskan kemaraan ialah pilihan kelapan, Elina Svitolina yang menewaskan pencabar dari Rusia, Margarita Gasparyan 7-5, 5-4, sebelum lawannya itu mengalami kekejangan dan membuat keputusan menarik diri.
Pilihan ketiga, Karolina Pliskova turut mara ke peringkat 32 akhir selepas meraih kemenangan mudah 6-0, 6-4 ke atas wakil Puerto Rico, Monica Puig yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik. – AFP











