KUALA LUMPUR 17 Julai-Kurang seminggu lagi 785 kawasan di Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air sementara dari 23 Julai disebabkan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) .
Sebanyak 758,570 akaun pelanggan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. ( Syabas) akan terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual itu antara 36 hingga 84 jam bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis.
Selain Kuala Lumpur dan Petaling, wilayah terlibat termasuk Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Hulu Selangor serta Kuala Selangor.
Biarpun gangguan itu bukan sesuatu yang baru, ia tetap meresahkan pengguna di kawasan terjejas dan ‘memaksa’ mereka membuat persediaan awal seperti membeli tong air, air mineral sebagai bekalan air minum serta mula menadah air pagi ini.
Bagi seorang penduduk di Taman Cheras Indah, Hamdan Ahmad, 52, dia menyediakan satu tong di samping dua baldi besar sebagai persediaan untuk menyimpan air sepanjang tempoh gangguan bekalan air bermula Selasa depan.
” Walaupun gangguan difahamkan hanya bermula pukul 9 pagi, saya perlu membuat persediaan awal bagi mengelakkan kesulitan,” katanya.
Bagi Aminah Sallehuddin, 37, dari Taman Tun Teja, Rawang Selangor pula berharap gangguan tersebut hanya dalam tempoh singkat dan pulih mengikut perancangan.
” Saya sudah bersedia menghadapi gangguan ini termasuk menambah bilangan tong sedia ada untuk menyimpan air, ” katanya.- UTUSAN ONLINE











