BATU PAHAT 17 Julai – Seorang warga emas yang sedang memetik daun-daun untuk dijadikan herba cedera selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 3 meter di kawasan belukar berdekatan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Jalan Tanjung Labuh di sini pukul 5.56 petang semalam.
Mangsa, Chua Yu Kong, 85, dipercayai terjatuh dan tergelincir semasa memetik daun herba kerana permukaan tebing tanah di gaung tersebut yang licin dan tidak rata.
Berikutan itu tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dengan dua jentera diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Omar Yusof dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut Omar ketika dihubungi Utusan Online: “Tahap kecederaan mangsa tidak dapat dipastikan. Pihak bomba memberikan rawatan bantu mula dan memakaikan C-Collar pada bahagian leher mangsa.
“Mangsa berseorangan ketika kejadian dan dipercayai terjatuh akibat permukaan tanah yang licin dan tidak rata. Sekumpulan remaja yang lalu di kawasan tersebut menghubungi 999 untuk memohon bantuan.” katanya.
Jelas beliau lagi, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja penyelamatan untuk menaikkan mangsa ke kawasan selamat.
“Mangsa dinaikkan dengan menggunakan ‘bucket strecher’ dan tali menyelamat. Kerja-kerja penyelamatan dilakukan dalam masa anggaran 15 minit dan operasi tamat pukul 6.25 petang,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











