KUANTAN – Lelaki warga emas berusia 73 tahun kerugian RM10,000 selepas ditipu ‘Sarjan Natasha’ dan ‘Inspektor Yong’ ketika kejadian di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa beberapa kali dihubungi ‘Sarjan Natasha’ sejak 30 Jun lalu.
Menurut Mohd. Wazir, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa warga emas itu mempunyai akaun bank yang digunakan untuk kegiatan pengubahan wang haram.
“Suspek menakutkan mangsa dengan ancaman membekukan semua akaun bank miliknya dan akan menahan mangsa kerana telah mendapat waran tangkap.
“Mangsa menafikan terlibat dengan pengubahan wang haram dan segera menamatkan perbualan telefon,” kata Mohd. Wazir menerusi kenyataan hari ini.
Ujar beliau lagi, mangsa dihubungi pula oleh ‘Inspektor Yong’ pada Selasa lalu dan membuat dakwaan serta ancaman yang sama, sekali gus menyebabkan warga emas itu terpedaya.
“Bimbang dengan dakwaan itu, mangsa membuat pindahan wang RM10,000 seperti diarahkan di sebuah bank di Jalan Beserah.
“Mangsa menyedari tertipu apabila dia sekali lagi dihubungi suspek yang meminta warga emas itu memindahkan lagi semua wang ke dalam akaun sama,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











