JASIN – Seorang pekerja wanita sebuah pasaraya maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan merempuh tiang lampu di penghadang jalan di Kilometer 5, Jalan Gapam-Bemban, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa, Yusra Amirah Mumiddin, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 dalam perjalanan dari Ayer Keroh ke Bemban.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu jalan di penghadang jalan.
“Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











