Wakil Rakyat DAP akui undi 18 tahun boleh jadi perangkap PH - Utusan Malaysia

Wakil Rakyat DAP akui undi 18 tahun boleh jadi perangkap PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Julai – Seorang wakil rakyat DAP mengakui keputusan menurun had mengundi boleh menjadi perangkap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya dilihat hanya memenuhi manifesto pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, kerajaan yang kini dipimpin PH masih banyak lagi janji manifesto belum ditunaikan.

Beliau berkata, banyak janji masih belum ditunaikan adalah membabitkan isu anak muda dan paling utama ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu isu peluang pekerjaan, isu rumah, isu kadar gaji minima dan banyak lagi yang membabitkan anak muda ini sanga banyak dan kalau kerajaan hari ini tidak menunaikan manifesto dan gagal menunaikan apa mereka mahukan, ini akan memakan PH sendiri pada pilihan raya akan datang

“Jadi pada hari ini apabila kita menurunkan had umur mengundi itu tanggungjawab PH untuk bekerja dari sekarang bagi menunaikan manifesto. Paling penting apa sahaja janji yang membabitkan anak muda ini perlu diselesaikan satu persatu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi panel forum ‘Make A Change, Let’s Do It Together’ anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Young Syefura lagi, janji PTPTN ia adalah isu yang sangat besar kerana membabitkan anak muda yang berusia 18 tahun dan mereka akan menilai sama ada PH atau parti lain yang lebih menguntungkan mereka

“Jadi saya yakin PH akan bekerja keras untuk memastikan janji-janji yang membabitkan anak muda ini akan diselesaikan,” katanya.

Dewan Rakyat Selasa lalu meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

RUU itu mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh SPR dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Turut dipinda dalam RUU itu untuk menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini