KUALA LUMPUR 7 Julai – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mempunyai alasan kukuh mengapa levi pelepasan yang akan dilaksanakan kerajaan September ini dianggap sebagai ‘tidak bertepatan’ dengan masa ketika ini.
Malah, kesatuan tersebut yang terdiri daripada 290 syarikat penerbangan di seluruh dunia itu juga menganggap pelaksanaan levi hanya menambah perit syarikat penerbangan tempatan yang sememangnya sudah terhimpit dengan pelbagai isu di peringkat global.
Selasa lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan dijangka melaksanakan levi pelepasan pada September ini tetapi mekanismenya belum diputuskan kerana terdapat beberapa cadangan perlu dipertimbangkan.
Apa yang disuarakan IATA menerusi Naib Presiden Rantau Asia Pasifik IATA, Conrad Clifford dan juga Pengarah Lapangan Terbang, Penumpang dan Keselamatan Asia Pasifik IATA, Vinoop Goel ketika ditemui media Malaysia pada Mesyuarat Agung Tahunan IATA di Seoul, Korea Selatan, Jun lalu ada kebenarannya.
Persoalan utama yang dibangkitkan kesatuan itu ialah ke mana kutipan levi itu akan disalurkan? Apatah lagi menyamakan kutipan levi itu seperti cukai sayonara di Jepun yang dikuatkuasakan 7 Januari lalu, nyata jauh berbeza.
Walaupun melancong ke Jepun mungkin menyebabkan pelancong kini terpaksa membayar lebih tetapi ia sebenarnya berbaloi. Menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO), kerajaan merancang untuk menggunakan cukai itu bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan terutama dengan penganjuran Olimpik Tokyo 2020.
Dijangka menjana kutipan sebanyak 50 bilion yen (RM1.92 bilion) tahun ini, kerajaan Jepun akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mewujudkan persekitaran bebas tekanan kepada para pelancong dengan memperkenalkan pintu pengecaman wajah di lapangan terbang dan pelabuhan bagi mempercepatkan proses pengawalan pasport.
Pada masa sama, wang itu juga digunakan bagi meningkatkan akses kepada maklumat mengenai tarikan di Jepun dengan manambah beberapa bahasa di papan tanda di taman negara dan tapak budaya serta membangunkan lebih banyak sumber pelancongan.
Namun, sekiranya kerajaan Malaysia mahu melaksanakan levi itu, bersediakah kita mengambil tindakan serupa seperti Jepun?
Jangan jadikan ia sekadar alasan untuk kegunaan rakyat sedangkan hakikatnya kutipan itu dibuat bagi mengisi kekosongan hasil kerajaan setelah cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan September lalu.
Jika tidak, seperti menurut IATA, mengenakan cukai kepada sektor penerbangan ibarat killing the goose kepada sektor pelancongan negara.
1 Pertumbuhan ekonomi global lemah
Keseluruhan industri penerbangan mengalami situasi tidak menentu berikutan peningkatan kos dan juga kadar tukaran mata wang asing. Dalam masa sama, pasaran kargo menunjukkan prestasi kurang baik, menjadikan tahun ini amat mencabar. Oleh itu, peningkatan kos dengan pelaksanaan levi pelepasan bukanlah masa yang sesuai.
Berdasarkan analisis IATA, persekitaran perniagaan bagi syarikat penerbangan telah merosot disebabkan peningkatan harga bahan api dan kelemahan perdagangan global. Tahun ini, keseluruhan kos dijangka meningkat 7.4 peratus, lebih tinggi mengatasi peningkatan 6.5 peratus pendapatan. Ini menyebabkan margin bersih menurun kepada 3.2 peratus berbanding 3.7 peratus tahun lalu manakala keuntungan setiap penumpang akan menurun kepada AS$6.12 (RM25.30)berbanding AS$6.85 (RM28.32) pada 2018.
2Malaysia bukan lagi pilihan
Di Malaysia, industri pelancongan sangat penting yang merangkumi 13 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berjuta pekerjaan. Apabila keadaan ekonomi global rapuh, mengapa mahu ‘membunuh’ industri pelancongan negara dengan tambahan cukai. Malah, levi ini akan menyebabkan pelancong memilih destinasi lain di Asia Tenggara dan pastinya memberi impak negatif kepada KDNK negara. Di sebalik prospek positif bagi rantau Asia Pasifik, penambahan perbelanjaan seperti levi ini akan menjadikan terbang ke Malaysia adalah lebih mahal berbanding negara jiran yang lain, misalnya Thailand, Filipina dan Indonesia.
3Syarikat penerbangan hilang kelebihan
Peningkatan sebarang harga akan menyebabkan syarikat penerbangan tempatan seperti Malaysia Airlines dan AirAsia hilang kelebihan berbanding rakan-rakan lain di rantau ini kerana mereka membawa lebih banyak penumpang dari dalam dan luar Malaysia berbanding syarikat penerbangan lain.
Menurut IATA, pasaran pengangkutan udara di Malaysia dijangka berkembang 127 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang, melibatkan pertambahan penumpang sebanyak 66.7 juta menjelang 2037.
4Malaysia bukan seperti Jepun
Berbanding cukai sayonara yang dilaksanakan Jepun, ia adalah berbeza. Purata perbelanjaan bagi penumpang ke Jepun adalah lebih kecil berbanding perbelanjaan pelancong ke Malaysia walaupun telah ditambah dengan cukai sayonara.
Kerajaan Jepun pula menggunakan sebahagian besar daripada cukai tersebut untuk menambah baik sektor penerbangan di negaranya antaranya dari segi infrastruktur dan keselamatan tetapi Malaysia menggunakan cukai itu untuk mengisi tabung kerajaan berbanding menambah baik lapangan terbang dan perkhidmatan yang sedia ada.











