KUALA LUMPUR – Satu sindiket dadah tumpas dengan tertangkap lapan individu termasuk lima warga asing dalam dua serbuan di sekitar ibu negara pada Selasa lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan bermula pukul 1.05 petang itu, turut dirampas iaitu pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM 2 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah kondominium di Jalan P. Ramlee di sini, sebanyak lima individu terdiri tiga lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam ditahan.
Ujarnya, kesemua mereka berusia 22 sehingga 57 tahun itu dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.
“Pemerikaaan lanjut kondominium mewah yang disewa mereka, kita telah menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.2 juta yang disimpan di dalam kediaman tersebut.
“Hasil soal siasat, kita seterusnya melakukan serbuah kedua di sebuah kondominiun di Jalan Delima di sini sebelum menahan tiga lelaki warga Iran yang bertindak sebagai pembekal dadah-dadah yang dirampas sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlam memberitahu, hasil serbuan itu, pihaknya turut menemukan dua tong plastik disyaki cecair methamphetamine dan 580 gram dadah sama.
“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga lelaki warga Iran itu mempunyai kepakaran dalam memproses dadah berkenaan sebelum dadah-dadah berkenaan diserahkan kepada pengedar.
“Kesemua suspek kini ditahan reman bermula semalam sehingga 9 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











