PASIR PUTEH – Penduduk Kampung Pulau Lima, di sini, mengadakan solat hajat khas hari ini bagi memohon agar pencuri yang memecah tabung dan mencuri wang masjid itu insaf serta kembali ke pangkal jalan.
Setiausaha masjid itu, Sidek Mamat berkata, ahli jemaah masjid itu terkejut apabila mendapati mangga tabung wang masjid dipotong menggunakan gunting besi dan kesemua wang sumbangan orang ramai yang tidak diketahui jumlahnya hilang.
Menurutnya, tabung berkenaan diletak di pintu masuk ruangan solat wanita yang menggunakan beberapa kunci bagi memastikan sedekah dan sumbangan orang ramai dapat digunakan dalam pengurusan hal ehwal masjid.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki berusia lingkungan 20-an datang ke masjid itu pada pukul 2 hingga pukul 3 pagi dengan sebuah motosikal.
“Mereka tidak membuka topi keledar yang dipakai mungkin untuk mengelakkan wajah mereka dikenali,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sidek berkata, dua lelaki berkenaan juga dipercayai membawa beberapa peralatan mengumpil dan akhirnya menggunakan gunting pemotong besi saiz besar untuk memotong mangga.
Katanya, ahli jemaah masjid sepakat untuk terus mengadakan solat hajat agar pencuri terbabit diberi hidayah untuk insaf dan tidak menjadikan kegiatan memecah tabung masjid sebagai punca pendapatan mereka.
Sebelum ini, katanya, masjid berkenaan turut kehilangan cerek yang digunakan untuk menyediakan minuman di masjid. – K! ONLINE











