[VIDEO] Lelaki berkopiah curi beg jemaah wanita - Utusan Malaysia

[VIDEO] Lelaki berkopiah curi beg jemaah wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG – Berpakaian kain pelekat serta memakai kopiah seolah-olah ingin menunaikan solat Subuh menjadi taktik yang digunakan oleh seorang lelaki untuk mencuri sebuah beg tangan milik jemaah wanita di Surau As-Siddiqin, Taman Kundang Jaya di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Gayah Mamat, 59, sedang menunaikan solat subuh apabila beg yang berisi kunci kereta jenis Proton Saga FLX miliknya dan kunci rumah diambil oleh suspek.

Perbuatan suspek itu dirakam pada pukul 6.10 pagi oleh televisyen litar tertutup (CCTV) di surau tersebut sebelum dilihat melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 apabila usahanya untuk mencuri kereta mangsa tidak berjaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Gayah, ketika kejadian, beg tersebut diletakkan di belakangnya semasa sedang solat di saf hadapan di ruangan solat jemaah wanita.

“Ketika selesai solat, saya mendengar bunyi penggera kereta berbunyi sebelum menyedari beg saya telah hilang.

“Apabila saya keluar untuk memeriksa kereta, tiada bayang suspek yang mengambil beg beserta kunci kereta dan kunci rumah yang ada di dalamnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Tambahnya lagi, tiada wang tunai atau sebarang dokumen pengenalan diri yang dibawa semasa kejadian tersebut kerana hanya pergi menunaikan solat subuh di surau yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Menurut Setiausaha Kelab Mengaji Dewasa surau As-Siddiqin, Azizul Ali, beg tersebut dijumpai kira-kira tiga meter dari ruang solat jemaah wanita.

“Kes ini bukanlah kes kecurian pertama yang terjadi di surau tersebut kerana pernah ada individu yang mencuri alat pembesar suara bernilai kira-kira RM7,000 pada dua tahun lalu

“Pihak pengurusan surau sudah lama memasang CCTV di sekitar kawasan tersebut bagi memudahkan semua pihak jika kejadian sebegini terjadi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi suami mangsa yang dikenali sebagai Tuan Haji Zek di talian 017-3751361. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini