PUTRAJAYA 15 Julai – Kerajaan perlu mengetahui di mana wang kutipan hasil GST berjumlah RM19. 4 bilion sekiranya dapatan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen menyatakan wang tersebut tidak hilang, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, sekiranya kerajaan berjaya menemukan semula wang berkenaan, bermakna dapatan PAC dalam laporannya itu adalah benar.
“Kalau dia (PAC) kata duit tak hilang, kita nak tengok duit ada di mana? Kalau kita dapat, jumpa balik duit itu, dia tak hilang lah, kalau kita tak jumpa dia hilang lah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
PAC dalam laporan hari ini menyatakan tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sebaliknya, Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad ketika membentangkan hasil laporan itu berkata, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Kata Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil cukai itu.
“Penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada di dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.
“Kerajaan telah mengumumkan akan membuat pembayaran balik cukai GST dalam tahun ini dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.
Laporan ini berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah Kementerian Kewangan.
Isu ini adalah lanjutan daripada kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu yang menyatakan bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.
Jawatankuasa ini juga mendapat taklimat daripada Ketua Audit Negara berhubung kesahihan tuntutan tunggakan bayaran balik GST berkenaan selain mendapat pandangan Peguam Negara mengenai prosedur bayaran balik GST.
Rumusan lain yang diperoleh PAC, kerajaan telah mengumumkan akan membuat bayaran balik cukai GST dalam tahun ini dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion. -UTUSAN ONLINE











