[VIDEO] JTKSM periksa 20 restoran di Seremban - Utusan Malaysia

[VIDEO] JTKSM periksa 20 restoran di Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 18 Julai – Pemilik sebuah restoran di sini didapati gagal menyediakan tempat tinggal selesa kepada 12 pekerjanya, selain membina bilik-bilik tidur yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

 

Selain itu, pekerja yang merupakan warganegara dari India dan Bangladesh dibiarkan tidur di atas lantai dengan tilam nipis serta tahap kebersihan premis tidak dijaga.

Itulah antara keadaan tempat tinggal pekerja asing yang ditemukan dalam ‘Ops Gempur Restoran’ oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sekitar daerah ini hari ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, pihaknya memeriksa sebanyak 20 restoran dalam operasi itu yang bertujuan mengesan sebarang perlanggaran undang-undang perburuhan oleh majikan.

“Dalam pemeriksaan hari ini kita mahu memastikan majikan mematuhi peraturan di bawah Akta Kerja 1955 antaranya berhubung gaji pekerja dan juga penempatan mereka.

“Kita ada garis panduan tentang tempat tinggal pekerja seperti kena sediakan tilam, bilik air yang sesuai dengan jumlah penghuni dan setiap pekerja memiliki almari berkunci untuk simpan dokumen. Ada tempat tinggal yang kita lihat dalam keadaan menyedihkan.

“Dalam operasi ini, kita juga membuat pemeriksaan kemungkinan berlaku pemerdagangan manusia,” katanya dalam sidang akhbar semasa operasi di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Yang turut serta Timbalan Pengarah Tenaga Kerja Bahagian Penguatkuasaan, Tengku Kamazeri Tengku Ismail dan 20 pegawai pemeriksa dari JKTSM dan Pejabat Tenaga Kerja Cawangan Seremban.

Mohd. Asri mengingatkan majikan supaya mematuhi peraturan manakala pekerja pula diminta tampil membuat laporan sekiranya hak mereka dinafikan.

Katanya, kertas siasatan akan dibuka terhadap majikan-majikan yang disyaki melakukan kesalahan dalam operasi itu dan mereka boleh didenda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, sehingga Jun lalu, sebanyak 143 kes melibatkan majikan telah didakwa di mahkamah dan 225 kes diberikan tawaran kompuan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan adalah majikan melakukan potongan gaji tanpa kebenaran, membayar gaji lewat, tidak mematuhi gaji minimum, tidak memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerja dan tidak membayar gaji kerja lebih masa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×