IPOH – Seramai 540 kanak-kanak daripada 18 cawangan Tadika Little Caliphs Zon (Perak) mengikuti Program Little Hajj 2019 di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini hari ini.
Kesemua mereka memulakan program pada pukul 9 pagi dengan memakai pakaian ihram sambil melakukan beberapa rukun haji merangkumi niat ihram, wukuf, melontar jamrah, tawaf, saie dan tahalul.
Pengarah program, Ilyana Ahmad berkata, program itu membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun di mana mereka mempraktikkan apa yang dipelajari tentang cara mengerjakan rukun Islam kelima secara praktikal.
Katanya, sebelum ini kesemua mereka telah pun didedahkan dengan ibadah haji itu sejak sebulan lalu menerusi pembelajaran di dalam bilik darjah.
“Menerusi latihan secara praktikal ini, ia bukan sahaja membolehkan peserta merasai sendiri pengalaman sebagai ‘jemaah haji’ malah memberi gambaran tentang suasana sebenar sebelum dan ketika menunaikan ibadah tersebut.
“Malah simulasi secara santai ini juga dapat memberi lebih pemahaman kepada kanak-kanak terlibat seterusnya menyuburkan minat dan keazaman mereka untuk turut melaksanakan ibadah itu satu hari nanti,” katanya ketika ditemui selepas program itu di sini hari ini.
Menurut Ilyana, sepanjang simulasi itu diadakan, kesemua peserta dibimbing oleh penceramah bebas, PU Yeop bersama 61 mutawif yang terdiri daripada guru pengiring.
Katanya, kerjasama baik diterima daripada peserta yang rata-rata begitu teruja untuk menjalankan aktiviti itu tambahan lagi apabila mereka melihat ‘kaabah’ di hadapan mata.
“Bagi memastikan kanak-kanak ini dapat merasai situasi yang sama ketika melakukan ibadah haji, kita telah menyediakan replika kaabah dan tempat untuk mereka melontar jamrah.
“Situasi sebenar ini membantu mereka memahami apa yang sedang dilakukan semasa mengerjakan rukun Islam kelima itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE











