Vape di sekolah semakin kronik - Utusan Malaysia

Vape di sekolah semakin kronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Menghisap vape dalam kalangan pelajar sema­kin serius malah seperti sudah tidak terkawal berikutan trend membimbangkan itu sudah melarat ke peringkat murid sekolah rendah.

Bayangkan murid tahun empat dan lima yang masih memakai ‘seluar biru’ sudah pandai menghela dan menghembus asap daripada alat tersebut.

Jika murid sekolah rendah pun begitu apatah lagi pelajar di peringkat menengah, mereka kini lebih berani untuk menghisap vape secara terbuka malah keadaan ini didakwa berlaku di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelajar terbabit bukan sahaja berani menghisap di kawasan awam dan khalayak ramai malah membawa alat tersebut ke sekolah.

Lebih kronik, pelajar atau murid yang membawa peranti tersebut mempengaruhi rakan-rakan lain untuk mencubanya sekali gus membuatkan masalah ini terus menular di kebanyakan sekolah seluruh negara memandangkan peranti vape dan perisanya mudah diperoleh dan dibeli termasuk menerusi dalam talian.

Malah seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Sham turut mengakui masalah itu bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah malah pelajar perempuan turut terjebak dengan perbuatan tersebut.

“Ramai yang sudah terjebak, ada yang berani menghisapnya di dalam kelas, satu puncanya adalah pengaruh rakan, keduanya penjualan yang tidak terka­wal.

“Apa tidaknya, murid sekolah sudah pandai beli dalam talian, mereka semua sudah memiliki telefon bimbit, ada yang berurus niaga terus de­ngan membayar­nya dengan kredit PayPal yang dibeli dari kedai serbaneka.

“Ada pula yang sudah pandai bayar guna mesin deposit tunai untuk membelinya daripada penjual dalam talian, jadi alat ini mudah diperoleh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelas Sham, lebih membimbangkan, beberapa pelajarnya yang ditangkap memiliki vape didapati sudah ketagih dengan rokok elektronik tersebut.

“Bahaya, jika perkara ini tidak dipantau segera akan terus menular, kerajaan perlu ambil tindakan serius kerana bukan sahaja dihisap oleh remaja malah kanak-kanak di sekolah rendah,” tegasnya.

Suka atau tidak inilah reali­tinya, malah trend membimbangkan tersebut turut menjadi bualan dan rungutan dalam media sosial melibatkan ramai pihak yang rata-rata marah dan runsing dengan senario tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini