LONDON – Virgil van Dijk berkata, sudah tiba masanya untuk pemain pertahanan memenangi Ballon d’Or selepas terdapat spekulasi mengatakan dia antara pilihan untuk merangkul anugerah berprestij tersebut.
Pertahanan Liverpool itu sudah pun dinobat Pemain Terbaik Persatuan Pemain Profesional (PFA) England selepas mengharungi musim menakjubkan bersama Reds apabila menjuarai Liga Juara-Juara serta menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua.
“Memenangi anugerah PFA sangat menakjubkan. Ia anugerah tertinggi buat saya kerana undian dilakukan oleh rakan-rakan.
“Satu penghargaan jika orang bercakap tentang Ballon d’Or, namun apa yang saya boleh buat? Saya tidak mempunyai pengaruh atau apa-apa.
“Saya tidak boleh nafikan saya mengharungi musim menakjubkan tahun lalu, perkara yang saya boleh lakukan adalah fokus untuk musim baharu, dapatkan kecergasan dan berharap ia lebih baik berbanding tahun lalu.
“Saya faham selalunya penyerang atau pemakai jersi No. 10 (tengah) memenangi anugerah itu sebab ia lebih menarik untuk dilihat namun mungkin kini sudah tiba masanya untuk mengubahkannya,” kata Van Dijk.
Kali terakhir pemain pertahanan memenangi Ballon d’Or adalah Fabio Cannavaro pada 2006. – AGENSI











