KEPALA BATAS 5 Julai – Kegiatan seorang penganggur mengaut keuntungan sehingga RM5,000 sebulan dengan menjual sijil cuti sakit palsu berjaya ditumpaskan selepas dia bersama seorang lagi ejen kegiatan haram itu ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Sungai Puyu dan Penaga, di sini semalam.
Polis berjaya menahan penanggur berusia 34 tahun itu yang merupakan dalang utama sindiket berkenaan selepas menahan seorang suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat swasta di Sungai Puyu kira-kira pukul 2 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tangkapan suspek dibuat susulan laporan polis yang dibuat pengurus sumber manusia sebuah syarikat swasta di Sungai Puyu, semalam selepas mendapati sijil cuti sakit dua pekerja di syarikat itu dalam keadaan mencurigakan.
“Sijil cuti sakit ini kononnya di keluarkan oleh sebuah hospital kerajaan dan turut mendapat pengesahan daripada pegawai perubatan namun syarikat tersebut mengesyaki ia adalah sijil sakit palsu.
“Pihak syarikat telah membuat pengesahan dengan pihak hospital dan mendapati bahawa nombor siri yang terdapat pada sijil cuti sakit ini tidak wujud,”katanya di sini hari ini.
Menurut beliau pihak hospital juga memaklumkan bahawa pegawai perubatan yang mengesahkan sijil cuti sakit tersebut juga tidak berkhidmat dimana-mana jabatan di hospital tersebut.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan mendapati penganggur berkenaan menjalankan kegiatan menjual sijil sakit palsu itu dengan mencetak sijil-sijil cuti sakit daripada internet sebelum menjual kepada ejen-ejennya.
“Lelaki berkenaan didapati menjual setiap sijil sakit palsu berkenaan dengan harga RM10 kepada ejen-ejen yang dipercayai bekerja di kilang-kilang sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
“Sijil itu kemudiannnya dijual kembali oleh ejen-ejen kepada pekerja yang mahukan cuti sakit dengan harga bermula RM25 hingga RM30 dan rangkaian ejennya mampu memperoleh keuntungan kira-kira RM15 hingga RM20 bagi setiap sijil palsu tersebut,”katanya.
Tambahnya, mekanik yang ditahan itu merupakan ejen kepada suspek utama berkenaan dan siasatan juga mendapati penganggur tersebut menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu. – UTUSAN ONLINE











