MANCHESTER – Manchester United dilaporkan telah membuat bidaan bernilai £62 juta (RM319.28 juta) dalam usaha untuk mendapatkan khidmat Pierre-Emerick Aubameyang daripada Emirates sebelum bermula saingan musim depan.
Alternatif berkenaan dilakukan selepas Inter Milan terus berada dalam rundingan untuk membawa pemain United, Romelu Lukaku berhijrah ke saingan Serie A.
Ketika pemain Belgium berkenaan semakin hampir untuk meninggalkan Old Trafford, United mengambil pendekatan membuat bidaan ke atas Aubameyang bagi mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan oleh Lukaku.
Bagaimanapun, The Gunners dikhabarkan menolak tawaran berkenaan dalam usaha untuk mengekalkan penjaring terbanyak tersebut bersama skuad kendalian Unai Emery.
Sementara itu, Inter sebelum ini telah melakukan rundingan untuk memancing Lukaku dengan nilai perpindahan sebanyak £75 juta (RM385.99 juta) termasuk dengan bonus yang bakal diterimanya.
Inter mengakui bahawa mereka perlu menawarkan harga yang lebih tinggi dalam usaha untuk membawa sasaran utama Antonio Conte ke San Siro.
Bagaimanapun, Inter hanya mampu dengan nilai £60 juta (RM308.59 juta) untuk tempoh tiga tahun berserta tambahan sebanyak £15 juta (RM77.15 juta) berdasarkan prestasi Lukaku bersama pasukan di Serie A. – Agensi











