Unit Cypark terbit sukuk biaya projek solar - Utusan Malaysia

Unit Cypark terbit sukuk biaya projek solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Cypark Resources Berhad merancang untuk menerbitkan sukuk mapan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah program Sukuk Murabahah dengan nilai nominal sehingga RM550 juta bagi membiayai projek loji tenaga solar miliknya.

Syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, sukuk terbitan Cypark Ref Sdn. Bhd. akan membabitkan tempoh sehingga 22 tahun bermula dari tarikh terbitannya.

“Hasil terbitan itu akan digunakan bagi membiayai sebahagian reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan membabitkan tiga projek jana kuasa fotovoltan solar 30 MWAC (megawatt arus ulang-alik).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini akan turut digunakan bagi membiayai bayaran keuntungan sukuk ketika tempoh pembinaan dan bagi pembiayaan baki minimum awal diperlukan untuk di deposit ke dalam Akaun Rizab Khidmat Kewangan serta bagi menampung perbelanjaan berkaitan terbitan sukuk tersebut,” katanya di sini hari ini.

Maybank Investment Bank Bhd. merupakan penasihat prinsipal, pengatur dan pengurus utama bagi program sukuk itu.

Bank pelaburan itu telah menyerahkan semua maklumat berkaitan program sukuk itu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini di bawah garis panduan dan produk modal pasaran tidak tersenarai yang ditetapkan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini